Azmir, Shah Rezza anggap arwah Maria Menado punya aura tersendiri

Azmir, Shah Rezza anggap arwah Maria Menado punya aura tersendiri

puterialia@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Industri perfileman tanah air diselubungi duka atas pemergian seniwati legenda, Allahyarham Datuk Seri Maria Menado yang disifatkan sebagai tokoh ikonik dan rujukan utama generasi pelakon masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, sumbangan Allahyarhamah dalam meletakkan standard tinggi dalam dunia lakonan, khususnya menerusi filem klasik Pontianak, akan sentiasa dikenang.

“Hari ini kita kehilangan seorang lagi seniwati negara. Beliau adalah tokoh pelakon yang tidak asing dalam industri dan banyak menyumbang kepada perkembangan seni lakonan tempatan.

“Lakonan beliau dalam Pontianak pada 1957 bukan sahaja membuahkan trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM), malah memberi impak besar dan menjadi trend pada zamannya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, hari ini.

Azmir yang hadir memberikan penghormatan terakhir mewakili seluruh warga industri kreatif turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.

Dalam pada itu, pelakon, Datuk Seri Shah Rezza turut mengimbau keperibadian Allahyarham yang dikenali sebagai seorang figura yang sangat mementingkan disiplin dan penampilan.

Bagi Shah Rezza, Allahyarham bukan sekadar pelakon, tetapi seorang ‘guru’ yang menitikberatkan imej seorang anak seni di mata masyarakat.

“Saya tahu dia jaga rumah tangga, rapi dan kemas penampilan dia. Bagi arwah, artis perlu sentiasa tampil rapi kerana mereka membawa imej kepada masyarakat. Itu yang saya pegang sampai sekarang.

“Momen terindah terlalu banyak, termasuklah pengalaman mengerjakan umrah bersama. Selain pandai mengurus kehidupan, arwah juga handal memasak dan sambal tumisnya antara yang paling saya ingati,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, pemergian Maria meninggalkan legasi besar dalam sejarah perfileman Melayu klasik, sekali gus menjadi kehilangan butir permata yang sukar dicari ganti.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top