Braga bawa bekalan tipis ke Jerman

Braga bawa bekalan tipis ke Jerman

Braga: Gol lewat Mario Dorgeles memastikan Sporting Braga meraih kemenangan 2-1 ke atas Freiburg dalam aksi separuh akhir pertama Liga Europa.

Braga bermula garang apabila Demir Ege Tiknaz membuka jaringan seawal minit kelapan, namun pelawat segera menyamakan kedudukan menerusi Vincenzo Grifo.

Perlawanan kemudian kembali seimbang sebelum Braga berpeluang mendahului menjelang rehat, tetapi sepakan penalti Rodrigo Zalazar berjaya diselamatkan penjaga gol Freiburg, Noah Atubolu.

Ketika aksi seakan berakhir seri, Dorgeles muncul wira apabila menyempurnakan peluang pada masa kecederaan untuk menghadiahkan kemenangan kepada tuan rumah.

Jurulatih Braga, Carlos Vicens memuji semangat juang pasukannya walaupun terlepas penalti.

“Pasukan tidak pernah berhenti mencuba untuk menang. Kami terlepas penalti, tetapi tetap berjaya meraih kemenangan,” katanya.

Braga kini membawa bekalan tipis ke Jerman bagi aksi timbal balik, dengan Freiburg dijangka bangkit memburu kemenangan di laman sendiri.

Pemenang perlawanan ini bakal berdepan sama ada Nottingham Forest atau Aston Villa di final yang dijadual berlangsung di Istanbul pada 21 Mei ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top