1,098 pelajar MRSM dapat semua A

1,098 pelajar MRSM dapat semua A

saadiah_ismail@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Seramai 1,098 pelajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya memperoleh semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata ia menunjukkan pencapaian memberangsangkan berbanding tahun lalu iaitu seramai 761 pelajar saja.

Katanya, MRSM juga mencatat kejayaan dengan mencapai 100 peratus gred lulus dalam semua mata pelajaran.

“Lapan MRSM menunjukkan prestasi cemerlang dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Langkawi, MRSM Taiping, MRSM Alor Gajah, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Johor Bahru, MRSM Kuantan dan MRSM Pengkalan Hulu.

“SPM 2020 bagi MRSM mencatatkan indeks GPM 2.359 dan keputusan ini menunjukkan peningkatan prestasi berbanding SPM 2019 (2.538) dan SPM 2018 (2.458),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Seramai 8,095 calon dari 53 MRSM di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM 2020.

Katanya, kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen pengurusan MARA dan MRSM serta semua guru yang memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2020.

“Sinergi semua pihak dalam memastikan segala program yang disusun berjalan lancar walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19.

“MARA akan terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon-calon SPM tahun 2021 menerusi pelbagai inisiatif.

“Antara inisiatif yang diambil ialah menetapkan pakej mata pelajaran dengan memberi fokus kepada bilangan maksimum subjek yang diambil serta menyusun semula peruntukan sela masa bagi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top