‘Ini bola sepak, bukan perang’ – Ronaldo

‘Ini bola sepak, bukan perang’ – Ronaldo

BINTANG Al-Nassr, Cristiano Ronaldo menegur pemain dalam Liga Pro Saudi agar menghentikan tabiat merungut mengenai mutu pengadilan yang didakwa boleh menjejaskan reputasi global liga berkenaan.

Ikon bola sepak dunia itu percaya bahawa sikap negatif yang berterusan menyelubungi projek liga tersebut hanya akan memakan diri dan menghalang cita-cita jangka panjang Arab Saudi untuk menjadi kuasa besar bola sepak.

Ronaldo membidas budaya kritikan yang semakin menular dalam liga itu sambil menyarankan agar fokus yang berlebihan terhadap keputusan pengadil akan merosakkan imej kejohanan.

Kenyataan itu dibuat selepas kemenangan 2-0 Al-Nassr ke atas Al-Ahli, sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di puncak liga. Pemain berusia 41 tahun itu menyeru agar rakan profesionalnya mempamerkan sikap yang lebih matang.

“Saya fikir ini tidak baik untuk liga. Semua orang merungut. Ini bola sepak, ini bukan perang. Kita tahu kita perlu berjuang, semua orang mahu menang. Tetapi bukan semua perkara dibenarkan,” katanya dalam satu temu bual bersama Thmanyah selepas perlawanan tersebut.

Komen pedas Ronaldo itu dipercayai merujuk kepada dakwaan pemain pertahanan Al-Ahli, Merih Demiral, yang mendakwa Al-Nassr sering mendapat ihsan serta keputusan memihak daripada pegawai perlawanan sepanjang musim ini.

Meskipun menggesa semua pihak bertenang, pemenang Ballon d’Or lima kali itu membayangkan beliau juga mempunyai rungutan tersendiri, namun hanya akan mendedahkannya sebaik sahaja persaingan merebut gelaran liga berakhir.

Ronaldo yang menempuh tahun yang mencabar termasuk isu boikot perlawanan awal musim ini susulan perpindahan kontroversi Karim Benzema ke Al-Hilal berjanji akan menjelaskan segalanya dalam masa terdekat.

“Saya akan bercakap pada penghujung musim nanti kerana saya telah melihat banyak perkara buruk. Ramai pemain merungut, membuat hantaran di Instagram dan Facebook, bercakap buruk tentang pengadil, liga, dan projek ini.

“Ini tidak bagus dan bukan matlamat asal liga ini ditubuhkan. Ia adalah musim yang sukar, bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang. Kita tahu ‘kuasa’ yang dimiliki pasukan lain, tetapi saya akan ada peluang untuk bersuara kelak,” tegasnya.

Bekas penggempur Real Madrid dan Manchester United itu kekal fokus kepada gambaran lebih besar iaitu menjadikan Liga Pro Saudi sebagai pesaing tulen kepada liga elit di Eropah.

Beliau percaya pertelingkahan dalaman hanya akan merosakkan pelaburan besar dan kemajuan sukan yang telah dicapai sejak ketibaannya di Riyadh pada Disember 2022.

“Kita sepatutnya memberi contoh, bukan sahaja di sini tetapi juga kepada Eropah bahawa kita mahu bersaing dengan mereka untuk menjadi antara liga terbaik di dunia.

“Namun dengan sikap begini, saya rasa kita perlu menganalisis semula dan menghentikan (kritikan) itu… kerana bagi saya, ini bukan cara bola sepak dimainkan,” tambahnya lagi.

Scroll to Top