'Banyak kecederaan di muka dan leher mangsa, mungkin ada kaitan jenayah'

'Banyak kecederaan di muka dan leher mangsa, mungkin ada kaitan jenayah'

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: “Saya sangkakan mangsa kemalangan namun tiada sebarang kenderaan berhampiran. Sebaik mendekati, saya dapati banyak kecederaan di muka dan leher mangsa,” kata saksi kejadian penemuan mayat seorang wanita di jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, di sini, tengah malam tadi.

Ahmad Fakrul Nizam Berahim, 46, berkata, dia dihubungi seorang rakan jam 12.30 tengah malam tadi memberitahu ada seseorang di tengah jalan dan disangkakan sedang tidur.

Ahmad Fakrul yang ketika itu berada di kedai makan miliknya segera ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari premisnya sebelum menemukan seorang wanita terbaring dalam keadaan mengiring.

“Wanita itu berpakaian lengkap namun tudungnya sudah tercabut. Ada beberapa kecederaan di tubuh termasuk leher, muka dan pinggang kiri wanita terbabit.

“Pada mulanya, kami sangkakan dia terbabit kemalangan. Namun, selepas melihat kecederaan terbabit, kami rasa ia mungkin ada kaitan dengan jenayah,” katanya ditemui di sini, hari ini.

Ahmad Fakrul berkata, mangsa dipercayai bukan penduduk sekitar memandangkan tiada yang mengenalinya.

Katanya, keadaan lokasi kejadian pula gelap selain tiada lampu jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top