Menteri Agama gesa umat Islam jauhi hiburan melalaikan -“Hindari maksiat, banyakkan ibadat”

Menteri Agama gesa umat Islam jauhi hiburan melalaikan -“Hindari maksiat, banyakkan ibadat”

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru seluruh umat Islam supaya menjauhi sebarang acara yang disifatkan melalaikan serta berpotensi mencemarkan akhlak dan menggugat nilai murni masyarakat.

Program berunsur maksiat perlu dihentikan

Menerusi satu hantaran dimuat naik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menegaskan Islam telah menetapkan garis panduan yang jelas dalam aspek hiburan dan program berunsur maksiat perlu dihentikan.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan tegas menyeru seluruh umat Islam agar tidak melibatkan diri dengan acara yang melalaikan, berpotensi mencemarkan akhlak dan menggugat nilai murni masyarakat.
“Islam menetapkan batas yang jelas dalam hiburan, dan sebarang program berunsur maksiat wajib dihentikan demi memelihara kesucian agama serta kesejahteraan ummah,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihak JPM (HEA) akan terus komited memperkukuh pelbagai program berbentuk kerohanian dan ilmu demi mengajak masyarakat ke arah kebaikan.

“JPM (HEA) dengan kerjasama pelbagai pihak terus istiqamah memperkukuh dan memperbanyakkan program yang menyeru kepada kebaikan seperti menganjurkan bacaan Yaasin, solat hajat, kuliah, ceramah, forum, tausiyah dan kempen di media sosial serta majlis ilmu,”katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengecam tindakan rejim Zionis Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla dan mengajak umat Islam untuk terus mendoakan keselamatan semua aktivis yang terlibat.

“Pada masa yang sama, JPM (HEA) mengecam tindakan rejim Zionis Israel terhadap misi Global Sumud Flotilla serta menyeru umat Islam memperbanyakkan doa dan solat hajat, memohon keselamatan dan perlindungan buat semua aktivis yang terlibat.
“Jadikan iman dan istiqamah sebagai benteng jiwa – jaga hati dan kekal teguh di jalan Allah Subhanahu wa-Ta’ala,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Pesta Air 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang telah menjadi perhatian ramai apabila mendapat kecaman bukan sahaja dalam kalangan netizen tetapi daripada beberapa ahli politik.

Walau bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing meminta agar penganjuran pesta air tersebut tidak dipolitikkan dan meminta sesiapa yang merasakan ia melanggar aturan agama untuk tidak ikut serta.

Sumber: Facebook Senator Dr Zulkifli Hasan

Scroll to Top