am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin keahliannya di Bahagian Sungai Buloh bukan jaminan beliau akan dicalonkan semula di kerusi itu pada pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ditemui media pada program Meet and Great Pemuda UMNO bersama ahli baru di sini hari ini, beliau sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan menentukan kawasan sesuai untuknya bertanding kelak.
“Saya serah kepada pucuk pimpinan. Kita tak mahu mendahuluinya. Cuma saya pergi (Bahagian) Sungai Buloh sebab itu bahagian terakhir saya.
“Waktu saya kena buang itu, saya di Sungai Buloh,” katanya.
Pada PRU ke-15 lalu, Khairy yang dipertaruhkan BN di kerusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH) iaitu Parlimen Sungai Buloh, biarpun tewas, masih mampu meraih undi memberangsangkan, selain memecah dominasi undi besar diperoleh PH di sana.
Biarpun PH berjaya mengekalkan kemenangan di Sungai Buloh apabila calonnya, Datuk Seri R Ramanan menang di kerusi itu, undi majoriti diperoleh lawannya ketika itu merosot mendadak kepada hanya 2,693 undi.
Ia berbeza dengan pencapaian PRU terdahulu termasuk pada 2018, di mana kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada PKR memperoleh majoriti 26,634 undi.
UMNO dan BN ketika PRU itu berada dalam momentum cukup lemah selepas hanya berjaya menang di 26 kerusi Parlimen, selain gagal meraih sebarang kerusi Parlimen di beberapa negeri termasuk Selangor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan serta Terengganu.
Ditanya mengenai pendaftaran ahli baharu UMNO yang memberangsangkan terutama dikalangan anak muda, Khairy berkata, ia mungkin kerana keyakinan mereka yang melihat UMNO bukan saja parti nostalgia, tapi paling stabil ketika ini.
“Ini pandangan saya, UMNO antara parti yang paling stabil hari ini. Dia sudah cuba (bekerjasama) hampir semua (gabungan politik).
“Lepas itu, saya nampak dia ada perasaan nostalgia. Mungkin mereka remaja pada waktu itu.
“Sekarang ini sudah berusia 18 tahun ke atas, boleh jadi ahli, boleh undi.
“Mereka fikir daripada semua yang sudah dicuba, semua parti yang sudah mentadbir negara ni, dia rasa macam yang paling stabil dan ada track record adalah UMNO,” katanya
© New Straits Times Press (M) Bhd




