hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kesukaran meningkatkan penyertaan orang kurang upaya (OKU) dalam pasaran pekerjaan bukan berpunca daripada satu pihak, sebaliknya membabitkan keseluruhan ekosistem daripada latihan dan padanan pekerjaan sehingga pengekalan serta perkembangan kerjaya.
Penasihat Kanan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) bagi Hal Ehwal Kerajaan, Media dan Penglibatan Antarabangsa, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kadar penggajian OKU yang masih rendah juga tidak semestinya menunjukkan majikan mempunyai persepsi negatif terhadap golongan berkenaan.
Beliau berkata, keputusan pengambilan turut dipengaruhi kesesuaian kemahiran, jenis pekerjaan, akses kepada calon, keperluan penyesuaian tempat kerja serta kemampuan majikan menyediakan sokongan bersesuaian.
“Kita perlu berhati-hati daripada membuat kesimpulan bahawa majikan tidak mahu menggaji OKU hanya berdasarkan kadar penggajian yang rendah. Sebaliknya, kita perlu melihat mengapa proses daripada mengiktiraf kemampuan kepada mengambil pekerja masih tidak berlaku pada skala yang lebih besar,” katanya.
Mengulas dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 2025 membabitkan 1,830 majikan, Syed Hussain berkata, isu mendapatkan calon OKU yang sesuai masih menjadi antara cabaran dalam pengambilan golongan berkenaan.
Jelasnya, isu berkenaan perlu dilihat sebagai masalah ekosistem dan bukan diletakkan kepada majikan atau OKU semata mata.
“Terdapat isu membabitkan jumlah calon, kemahiran dan kesediaan bekerja dalam bidang tertentu, manakala sistem padanan pekerjaan OKU juga masih boleh diperkukuh.
“Tidak memadai sekadar mempunyai pangkalan data pencari kerja OKU. Yang diperlukan ialah sistem yang memahami kemahiran, kelayakan, pengalaman, keupayaan fungsi dan jenis penyesuaian yang diperlukan, kemudian memadankannya dengan keperluan sebenar pekerjaan di pasaran kerja,” katanya kepada Harian Metro di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, majikan pada masa sama perlu menilai sama ada proses pengambilan mereka terlalu konvensional kerana profil pekerjaan yang terlalu tertutup boleh menyebabkan calon OKU yang sebenarnya mampu melaksanakan tugas dengan sedikit penyesuaian terlepas daripada pertimbangan.
Syed Hussain turut mengulas dapatan bahawa 31.4 peratus jawatan yang diisi pekerja OKU berada dalam kategori pekerjaan asas dengan berkata, keadaan itu perlu dilihat bersama tahap kelayakan dan kemahiran pekerja berkenaan.
Katanya, jika seseorang OKU memiliki diploma, ijazah, kemahiran teknikal atau pengalaman profesional tetapi hanya memperoleh pekerjaan asas, persoalan perlu dibangkitkan sama ada berlaku pekerjaan di bawah tahap kelayakan atau ketidakpadanan antara kelayakan dengan pekerjaan.
“Agenda pekerjaan OKU tidak sepatutnya berhenti pada persoalan ‘adakah mereka bekerja?’. Persoalan yang lebih penting ialah adakah mereka bekerja dalam pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan kelayakan mereka?,” katanya.
KESUMA fokus perluas akses pekerjaan golongan OKU
Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mahu agenda pekerjaan orang kurang upaya (OKU) tidak lagi dinilai berdasarkan jumlah penempatan semata mata, sebaliknya turut mengambil kira kualiti pekerjaan, pengekalan, pendapatan dan perkembangan kerjaya.
KESUMA berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan adalah memastikan OKU bukan sahaja mempunyai akses kepada pekerjaan, malah memperoleh pekerjaan berkualiti, terlindung dan mempunyai prospek kerjaya.
Menurut kementerian itu, statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan seramai 103,800 pencari kerja daripada golongan OKU, termasuk peserta Pengurusan Hilang Upaya, berjaya ditempatkan dalam pekerjaan bagi tempoh 2020 hingga Ogos 2026 melalui intervensi dan perkhidmatan penempatan pekerjaan Perkeso.
“Dalam tempoh sejak 2023 pula, sebanyak 193,909 kekosongan jawatan ditawarkan kepada golongan OKU menerusi MYFutureJobs berdasarkan kesesuaian kompetensi calon dan keperluan jawatan.
“Daripada jumlah itu, kategori pekerja asas mencatatkan tawaran tertinggi sebanyak 54,248 kekosongan atau 28 peratus, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu sebanyak 25,701 atau 13.3 peratus serta pekerja perkhidmatan dan jualan sebanyak 24,488 atau 12.6 peratus,” katanya kepada Harian Metro. menerusi kenyataan baru-baru ini.
KESUMA berkata, peningkatan jumlah OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagaimanapun tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar golongan itu yang berada dalam pasaran pekerjaan.
“Ini kerana tidak semua OKU berdaftar dengan JKM turut berdaftar atau memaklumkan status OKU kepada KESUMA melalui Perkeso. Malah, tidak semua majikan menyatakan sesuatu pekerjaan boleh dilaksanakan oleh OKU dengan penyesuaian bersesuaian.
“Bagi mendapatkan gambaran lebih tepat mengenai penyertaan OKU dalam pasaran buruh, KESUMA sedang menyelaras perkongsian data antara Perkeso dan JKM melalui integrasi MYFutureJobs dengan Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) menerusi platform MyGDX,” katanya.
Tambahnya, langkah itu antara lain membolehkan status OKU pencari kerja yang mendaftar melalui MYFutureJobs disahkan berdasarkan rekod rasmi JKM, selain meningkatkan ketepatan dan kesahihan data bagi membantu perancangan dasar serta intervensi pekerjaan.
Mengulas cabaran mendapatkan calon OKU yang sesuai, KESUMA berkata, pendekatan pemprofilan kemahiran, latihan mengikut jenis ketidakupayaan dan padanan pekerjaan berdasarkan keupayaan individu perlu terus diperkukuh.
Kementerian itu berkata, kerjasama antara majikan, institusi latihan dan penyedia perkhidmatan pekerjaan juga perlu dipertingkat bagi memastikan calon dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan serta kemahiran mereka.
“Pada masa sama, KESUMA berpandangan peluang pekerjaan OKU tidak seharusnya tertumpu kepada pekerjaan asas semata-mata, sebaliknya golongan itu perlu mempunyai laluan kepada pekerjaan berkemahiran dan profesional,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




