hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kes penipuan bersemuka dan kesalahan berkaitan dadah merekodkan angka tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Berdasarkan infografik rasmi yang diterbitkan menerusi data Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebanyak 69,001 kes penipuan bersemuka termasuk perbuatan membabitkan penipuan, pemalsuan atau rasuah direkodkan.
Selain itu, jenayah membabitkan dadah terkawal atau bahan psikoaktif lain merekodkan sejumlah 152,856 kes positif urin.
Jenayah siber pula mencatatkan 1,486 kes di bawah seksyen keselamatan awam dan negara.
Bagi kesalahan terhadap harta, kecurian harta persendirian merekodkan sejumlah 18,477 kes.
Daripada jumlah berkenaan, kecurian terhadap individu mencatatkan kes tertinggi iaitu 16,369 kes, diikuti kecurian dalam kenderaan dengan 1,546 kes, dan 562 kes membabitkan pembantu rumah.
Jenayah samun yang membabitkan ancaman atau keganasan mencatatkan 3,108 kes.
Bagi jenayah membabitkan perbuatan yang menyebabkan kemudaratan kepada individu merekodkan 6,522 kes keganasan rumah tangga.
Perbuatan mencederakan bersifat seksual pula merekodkan 4,562 kes serangan seksual, merangkumi 3,347 kes serangan fizikal dan 1,215 kes serangan bukan fizikal.
Bagi perbuatan jenayah kekerasan yang membawa kepada kematian, sebanyak 252 kes bunuh direkodkan.
Jumlah ini membabitkan 248 kes bunuh dengan niat dan empat kes bunuh tanpa niat.
Laporan itu turut mendedahkan statistik penyelewengan barang kawalan yang menjejaskan peruntukan negara.
Penyelewengan bahan api pula merekodkan kes tertinggi dengan penyelewengan diesel dan petrol sebanyak 463 kes serta 449 kes masing-masing.
Ia diikuti penyelewengan minyak masak sebanyak 367 kes, gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 350 kes; gula (182 kes) dan tepung gandum (90 kes).
Bagi kesalahan yang menjejaskan alam sekitar semula jadi, sebanyak 4,911 kes penangkapan ikan secara haram dilaporkan.
Sementara itu, bagi kesalahan jenayah lain, hanya satu kes rompakan di laut direkodkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




