'Siasatlah dengan jujur tanpa dipengaruhi politik…' – Luahan isteri mangsa nahas helikopter Long Lellang

'Siasatlah dengan jujur tanpa dipengaruhi politik…' – Luahan isteri mangsa nahas helikopter Long Lellang

mdroji@bh.com.my

Kuching: Isteri kepada Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry berharap siasatan nahas helikopter Bo-105 yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, 8 September lalu dijalankan dengan jujur tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Stephanie Essah Incham berkata, tragedi berkenaan memberi impak besar kepada keluarganya apabila kehilangan insan tersayang secara mengejut.

Beliau berkata, tragedi itu meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak yang turut kehilangan bapa kesayangan mereka.

“Saya berharap pihak berkaitan, terutama pihak yang menjalankan siasatan, dapat menjalankan siasatan dengan telus dan jujur.

“Saya juga berharap laporan dikeluarkan dengan lebih jujur tanpa dipolitikkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stephanie berkata demikian ketika diminta mengulas laporan awal nahas yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) hari ini.

Laporan itu antara lain menyatakan siasatan keselamatan masih berjalan, manakala data fakta yang diperoleh ketika ini masih pada peringkat awal.

Menurut laporan berkenaan, pencarian fakta berterusan membabitkan operasi penerbangan, amalan operasi standard dan sejarah penyelenggaraan helikopter bagi mendapatkan bukti yang diperlukan untuk mengesahkan pertahanan sistem serta menilai sebarang keadaan terpendam.

Pada peringkat awal siasatan, AAIB mendapati tiada kerosakan dikenal pasti membabitkan kerangka pesawat, penyelenggaraan atau juruterbang.

Dalam kejadian pada jam 3.58 petang 8 September lalu, helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) terbabit terhempas berhampiran Long Lellang ketika dalam perjalanan menjalankan khidmat perubatan udara.

Nahas itu mengorbankan lima individu iaitu juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; Pegawai Perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40 dan Jessie Paya Jok, 44.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top