Zul Ariffin hidupkan legenda Raja Bersiong dalam filem BALING

Zul Ariffin hidupkan legenda Raja Bersiong dalam filem BALING

opie@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Filem BALING dibintangi pelakon Zul Ariffin yang kini sedang menjalani penggambaran di Baling, Kedah bakal mengangkat mitologi legenda Raja Bersiong di negeri berkenaan.

Diarahkan oleh Anwari Ashraf, filem aksi seram thriller ini mengisahkan Yong, atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiong, yang masih hidup merentasi zaman selama beratus-ratus tahun.

Terpaksa berdepan semula dengan masa lalu, Yong perlu menghadapi sejarahnya sendiri dan menebus kesilapan.

Berlatarkan legenda dan mitologi Melayu, BALING membuka satu lagi sisi dunia untuk diterokai penonton, dengan perjalanan peribadi Yong yang menjadi nadi utama penceritaan filem ini.

Produksi Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) menghimpunkan barisan tenaga kreatif terkemuka tempatan seperti Pengarah Fotografi Nicholas Chin (Blood Brothers), Penerbit Awan Kiko (Libang Libu), Penyunting Irwan Ahmad (High Council) dan Pereka Produksi Rabbani Sujak (Malam Terlarang).

Ia bagi merealisasikan dunia BALING yang sarat dengan elemen mitologi tempatan dan pendekatan sinematik.

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, legenda Raja Bersiong bukanlah sesuatu yang asing dalam cerita rakyat Malaysia, maka filem BALING bakal membuka lebih banyak ruang untuk diterokai.

Menurutnya, banyak sisi yang boleh diterokai menerusi karakter Yong, seorang lelaki yang hidup selama berabad-abad dan terpaksa berdepan dengan masa lalu yang terus menghantuinya.

Katanya, menerusi BALING, kami membawakan elemen aksi, saspens dan seram dalam menghidupkan kisah ini.

“Anwari telah membuktikan kemampuannya menerusi dunia High Council dengan keupayaannya mencipta karakter yang dekat kepada penonton serta kisah yang terus menjadi bualan.

“Dengan Anwari sebagai pencipta dan pengarah BALING serta Zul Ariffin yang membawakan watak Yong, kami yakin gabungan mereka mampu memberikan skala penceritaan dan kekuatan emosi yang selayaknya untuk kisah ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top