Arteta yakin Madueke mampu menyerlah

Arteta yakin Madueke mampu menyerlah

London: Mikel Arteta percaya Noni Madueke mampu mempamerkan kualiti sebenar dan membantu Arsenal ketika pasukan paling memerlukan khidmatnya.

Madueke, 24, mempamerkan prestasi tidak konsisten sejak menyertai Arsenal menerusi perpindahan bernilai £52 juta (RM282.88 juta) dari Chelsea pada musim panas 2025.

Pemain sayap England itu bergelut untuk mendapatkan tempat tetap dalam kesebelasan utama di Emirates berikutan persaingan daripada Bukayo Saka, Eberechi Eze dan kini Christos Tzolis.

Madueke juga kehilangan tempat dalam skuad England selepas digugurkan daripada senarai pemain pertama sejak Piala Dunia, ketika dia berusaha mengembalikan prestasi terbaiknya.

Bagaimanapun, Arteta berkata Madueke kini berpeluang cerah untuk membuktikan kemampuannya dalam beberapa minggu akan datang susulan kecederaan Tzolis.

Pengendali Arsenal itu yakin bekas pemain sayap Chelsea berkenaan mampu memanfaatkan peluang berkenaan.

“Jika kita memberikan peluang kepada mana-mana pemain untuk beraksi dalam dua, tiga atau empat perlawanan berturut-turut, saya fikir semua orang akan menghargainya kerana mereka dapat lebih memahami rakan sepasukan, memperoleh lebih banyak minit permainan dan meningkatkan keyakinan.

“Jika semuanya berjalan lancar, itulah pendekatan terbaik untuk semua pemain. Dia sudah mendapat beberapa peluang dan akan diberikan lebih banyak minit permainan dalam beberapa perlawanan akan datang. Saya yakin kita akan mula melihat Noni yang lebih hampir dengan tahap permainan terbaiknya.”

Madueke sentiasa kelihatan lebih menyerlah di sayap kanan apabila dia boleh melakukan gerakan ke dalam untuk menggunakan kaki kirinya yang menjadi pilihan.

Namun, dia diturunkan di sayap kiri ketika menentang Leeds dan berkemungkinan memainkan peranan sama ketika berdepan Nottingham Forest, esok.

Arteta menegaskan Madueke mampu menyesuaikan diri dan memberikan impak di kedua-dua bahagian sayap, terutama jika dia mendapat momentum menerusi beberapa penampilan berturut-turut.

“Keputusan itu juga bergantung kepada keperluan pasukan, kadangkala lebih daripada pertimbangan taktikal setakat ini. Saya fikir dia boleh bermain di kedua-dua posisi dan menawarkan sesuatu yang berbeza.

“Ketika ini, kita memerlukan pemain di bahagian kiri yang mempunyai kualiti berbeza daripada Ebs (Eze) dan mampu melengkapi pemain lain dalam unit serangan di sebelah kiri.

“Ini sesuatu yang bagus kerana dia selesa beraksi di posisi itu, menikmati permainannya dan menunjukkan prestasi baik. Ia satu penyelesaian yang bagus,” kata Arteta.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top