PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom kembali mempamerkan taringnya apabila menjuarai acara keirin pada saingan Piala Trek Indonesia di Jakarta, sekali gus menghadiahkan kilauan emas buat Malaysia.
Kejayaan itu hadir tepat pada masanya buat pelumba yang digelar ‘The Terminator’ tersebut selepas aksi kurang menjadi pada dua siri Piala Dunia Trek baru-baru ini, sekali gus membuktikan beliau masih antara pencabar utama di pentas antarabangsa.
Lebih manis, dominasi Malaysia dalam acara sama turut disempurnakan oleh rakan senegara, Muhammad Fadhil Zonis yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk meraih pingat perak, menewaskan cabaran sengit pelumba tuan rumah.
Terdahulu, Shah Firdaus mengalami kekecewaan apabila tersingkir seawal pusingan pertama dalam Piala Dunia Trek di Nilai minggu lalu, sekali gus gagal mara ke pusingan kedua, namun kejayaan di Jakarta menjadi tonik terbaik untuk mengembalikan keyakinannya. – UTUSAN




