lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua ahli jawatankuasa induk Global Sumud Flotilla (GSF) iaitu Thiago Ávila dan Saif Abukeshek disahkan masih berada dalam tahanan tentera Israel selepas diculik di perairan antarabangsa berhampiran Greece, semalam.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, penahanan dua individu penting berkenaan dipercayai bertujuan mengugut dan melumpuhkan keseluruhan misi pelayaran kemanusiaan itu.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan bahawa aktivis terbabit berdepan provokasi dan serangan fizikal ketika ditahan.
“SNCC menerima maklumat bahawa berlaku insiden keganasan ketika penahanan apabila aktivis dipaksa berada dalam keadaan sangat tidak selesa, selain ada yang mengalami kecederaan.
“Kita sahkan dua ahli jawatankuasa induk GSF iaitu Thiago Ávila dan Saif Abukeshek masih ditahan dan dipercayai menjadi sasaran bagi melemahkan keseluruhan gerakan ini,” katanya pada sidang media menerusi siaran langsung di SNCC Bangi, malam ini.
Menurutnya, tindakan itu mencetuskan kebimbangan serius terhadap keselamatan aktivis kemanusiaan yang terbabit dalam misi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa termasuk rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada Israel agar segera membebaskan kedua-dua individu terbabit.
“SNCC menyeru semua pihak untuk terus bersuara dan mendesak pembebasan mereka yang masih ditahan.
“Kita juga mengajak rakyat Malaysia untuk mempergiatkan usaha solidariti termasuk mengadakan solat hajat, membaca Qunut Nazilah serta menyebarkan maklumat sahih mengenai isu Palestin di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Terdahulu, beliau dilaporkan berkata, 10 rakyat Malaysia dan peserta GSF yang diculik tentera Israel, sudah dilepaskan di Pelabuhan Ierapetra, Greece, hari ini.
Beliau dipetik berkata, kesemua delegasi Malaysia itu adalah antara 175 aktivis kemanusiaan yang ditahan di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, semalam.
Menurutnya, semua aktivis terbabit dibawa ke Lapangan Terbang Herakleon, Crete dengan menaiki bas, seterusnya akan diterbangkan dengan pesawat disediakan Kerajaan Turkiye ke Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.
“Keputusan sama ada kesemua aktivis Malaysia itu akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada tahap kesihatan mereka serta situasi semasa.
“Ia akan diputuskan secara konsensus antara SNCC dan pihak GSF,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




