Pemain wanita NJDP 'gegar' Jakarta

Pemain wanita NJDP 'gegar' Jakarta

Kuala Lumpur: Program Pembangunan Golf Junior Kebangsaan (NJDP) sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila dua pemain junior wanita berjaya mengungguli Kejohanan JGS Elite Junior International yang berlangsung di padang Golf Royal Jakarta, Indonesia dari 26 hingga 28 April 2026.

Pemain muda berbakat, Mavis Chua, berjaya menjuarai kategori Perempuan Bawah 15 Tahun (U15) selepas menewaskan pemain tuan rumah Indonesia dalam saingan sengit.

Sementara itu, Nurlyana Ruzqinain turut mencipta kejutan apabila muncul sebagai naib juara keseluruhan kejohanan, satu pencapaian yang amat membanggakan dan melangkaui jangkaan awal pasukan.

Selepas melalui tempoh pembangunan selama dua tahun dalam program NJDP, kedua-dua pemain itu membuktikan mereka bukan lagi sekadar pemain pelapis, malah sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih besar untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.

Bagi kategori lelaki, NJDP menghantar dua pemain utama iaitu Danial Nazari dan Anis Dylon Sinno.

Danial sekali lagi menunjukkan prestasi konsisten apabila menamatkan kejohanan di kedudukan keempat keseluruhan, manakala Anis berada di tangga kelapan.

Pihak NJDP menyatakan rasa berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua pemain dan yakin bahawa program pembangunan di bawah naungan Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu mampu terus melahirkan pemain-pemain golf berpotensi tinggi untuk negara.

Menurut pengerusi NJDP MGA,Mohd Fauzi Mesran Kejayaan ini menjadi bukti keberkesanan program pembangunan jangka panjang NJDP dalam membentuk pemain yang berdaya saing di peringkat antarabangsa serta mampu mengharumkan nama Malaysia di masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top