KOTA BHARU: Polis menahan dua lelaki berusia 19 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang gadis yang dibunuh dengan 61 tikaman sebelum ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Simah, Ketereh di sini hari ini.
Kedua-dua lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk permohonan reman esok.
Terdahulu, difahamkan, kedua-dua suspek itu ditahan di sekitar Ketereh malam ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, polis menemukan 61 kesan tikaman pada badan Nurfisya Zulkifly, 19, yang dipercayai mati dibunuh sebelum mayatnya dibuang di Kampung Simah, Ketereh dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat tersebut hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh pasukan forensik ke atas tubuh wanita berkenaan bermula dari bahagian muka sehingga kaki.-UTUSAN




