Wanita warga asing maut jatuh dari balkoni Aras 3 KLIA Terminal 2

Wanita warga asing maut jatuh dari balkoni Aras 3 KLIA Terminal 2

Putrajaya: Wanita warga asing maut terjatuh dari balkoni Aras 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di Sepang.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian berlaku pada 2.20 petang Jumaat.

Katanya, wanita berusia 27 tahun itu pada awalnya dilihat duduk di kawasan luar balkoni dalam keadaan menangis dan menjerit secara agresif.

“Petugas dan pengawal keselamatan cuba menenangkan wanita berkenaan, namun usaha tersebut tidak berjaya. Seorang anggota keselamatan KLIA kemudian cuba mendekatinya untuk memberikan bantuan.

“Bagaimanapun, wanita itu bertindak di luar kawalan sebelum jatuh ke kawasan Loading Bay KLIA2,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ravi berkata, pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian memberi rawatan kecemasan, sebelum mangsa dibawa ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.

Katanya, kira-kira jam 5 petang, pihak Hospital Putrajaya mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia.

“Semakan mendapati wanita itu warganegara China yang dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke negara asal pada 2 Mei 2026 (hari ini).

“Siasatan dijalankan mengikut Prosedur Kematian Mengejut (SDR),” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat memaparkan seorang wanita yang berada di tempat tinggi di kawasan KLIA Terminal 2 jatuh.

Dalam kes berasingan, rakaman video seorang lelaki ditemui tertiarap di kawasan rumput dipercayai jatuh di lapangan terbang sama, malam tadi turut tular.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan status mangsa.

Ravi yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes berkenaan masih dalam tindakan pihaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top