nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian penuntut kolej wanita dengan 61 tikaman di Kampung Simah, Ketereh.
Difahamkan, kedua-dua suspek berusia 19 tahun ditahan malam tadi di sekitar Ketereh.
Polis dijangka akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu, pagi ini.
Terdahulu, media melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh, tengah malam Jumaat, mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihaknya sudah mengenal pasti mangsa berdasarkan semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
Beliau berkata, mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Katanya, hasil pemerhatian awal di lokasi mendapati, mangsa memakai rantai leher dengan ukiran nama ‘SYAA’, seutas rantai tangan di pergelangan tangan kiri serta sebentuk cincin di jari tengah tangan kanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




