Dua nelayan hilang ditemui terapung

Dua nelayan hilang ditemui terapung

bhnews@bh.com.my

PARIT BUNTAR: Dua nelayan yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan akibat ribut pagi tadi, ditemui terapung petang ini dan disahkan mati.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Mohd Sharenliza Ghazali, berkata mayat mangsa pertama dikenali sebagai Ueap Bee Hin, 65, ditemui nelayan di kedudukan 1.2 batu nautika dari perairan Sungai Baru, Tanjung Piandang, pada jam 3.30 petang.

Sementara mayat Tan Eng Thang, 59, ditemui ketika kerja-kerja menarik bot mangsa dilakukan di 0.5 batu nautika barat dari Parit 30, Kuala Kurau, pada jam 6 petang.

Katanya, terdahulu, pihaknya menerima laporan kehilangan dua mangsa iaitu Bee Hin di perairan Tanjung Piandang dan Eng Thang di perairan Kuala Kurau, di antara jam 11.30 pagi dan 12 tengah hari.

“Susulan itu, kita mengerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dan dibantu Pasukan Polis Marin, Jabatan Perikanan Kuala Kurau dan nelayan setempat.

“Kedua-dua mayat yang ditemui diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika di temui media di Jeti Pasukan Polis Marin, Kuala Kurau, di sini petang ini.

Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Dalam kejadian pertama di perairan Sungai Baru Tanjung Piandang, sebuah bot yang dinaiki tiga nelayan tempatan termasuk Bee Hin yang bertindak selaku tekong, terbalik menyebabkan dia hilang.

Sementara dalam kejadian kedua, dua bot di perairan Kuala Kurau yang dinaiki lima nelayan tenggelam menyebabkan Eng Thang hilang manakala empat rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke darat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top