Seni bina, dekorasi unik masjid jadi pendamai jiwa

Seni bina, dekorasi unik masjid jadi pendamai jiwa

asmaini@mediaprima.com.my

DI kebanyakan negara Islam, masjid menjadi warisan khazanah dengan seni bina dan dekorasi yang memukau.

Tidak terkecuali di Malaysia apabila masjid tidak lagi berperanan sebagai tempat beribadat semata-mata, sebaliknya turut berfungsi sebagai pusat ilmu dan pembangunan ummah.

Fungsinya yang menyeluruh menjadikan masjid sentiasa menjadi tumpuan ramai.

Namun, cantiknya sesebuah masjid bukan sekadar diukur daripada pandangan mata, tetapi rekaan seni binanya juga perlu selesa untuk membuatkan orang ramai tertarik untuk menjejakkan kaki ke rumah ibadat itu.

1. Masjid Muhammadiah

Di Malaysia ketika ini, terdapat ribuan masjid menarik di seluruh negara. Namun, antara yang paling unik adalah Masjid Muhammadiah di Ipoh, Perak.

Terletak di Taman Tasek Jaya, ia juga dikenali sebagai ‘Masjid Cina’ kerana seni binanya yang 100 peratus berinspirasikan budaya masyarakat Tionghoa.

Bumbung masjid ini mempunyai struktur bumbung panjang dan bumbung lima, yang biasa dilihat dalam seni bina pagoda.

Penggunaan warna merah yang dominan pada struktur bumbung dan elemen hiasan juga menonjolkan lagi pengaruh budaya masyarakat Tionghoa.

Selain itu, masjid ini turut dihiasi dengan dekorasi ukiran halus, menambahkan lagi keindahan dan perincian artistik pada bangunannya.

2. Masjid Kampung Baru, Bentong/Masjid Tunku Azizah Iskandar

Masjid Kampung Baru, Bentong, Pahang kini dikenali dengan nama Masjid Tunku Azizah Iskandar.

Terkenal dengan reka bentuk moden minimalis yang unik, masjid ini menampilkan fasad berwarna putih yang menonjol.

Ia menggabungkan seni bina Islam dengan sentuhan moden kontemporari yang direka oleh arkitek tempatan.

3. Masjid Lapan Kubah, Terengganu

Masjid Lapan Kubah cukup popular dengan jolokan sebagai ‘Masjid Russia’.

Terletak di tengah sawah padi menghijau di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Besut, masjid ini antara masjid paling ikonik dan unik di pantai timur.

Seni binanya yang unik menarik perhatian pelancong dan jurufoto dari seluruh negara.

Ia dinamakan ‘Masjid Lapan Kubah’ kerana mempunyai lapan kubah yang unik serta warna yang menyerlah.

Pembinaan masjid ini menggantikan masjid kayu berusia lebih daripada 100 tahun dan ia boleh menampung sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa.

4. Masjid Razaleigh (Gua Musang, Kelantan)

Masjid baharu berkeluasan 99,000 kaki persegi yang menjadi ikon Gua Musang dengan seni bina yang indah ini berinspirasikan Masjidil Haram, Makkah.

Ia menampilkan seni bina ikonik dengan sembilan menara setinggi 30 meter dan lapan kubah.

Keunikan utamanya termasuk reka bentuk dalaman yang menyerupai Masjidil Haram serta replika Kaabah di pekarangan masjid.

Ia juga menjadi lokasi popular untuk latihan haji dan umrah selain tarikan pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.

5. Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan

Masjid ini diiktiraf antara masjid tercantik di Malaysia dan menjadi tarikan ramai.

Ia juga digelar ‘Taj Mahal Malaysia’ dan keunikannya terletak pada reka bentuk seni bina moden dan Islamik yang tersergam indah.

Masjid ini menampilkan ukiran halus yang terperinci pada dinding dan struktur dengan pengaruh seni bina Turki serta Arab.

Ruang dalaman yang luas menyerlahkan lagi suasana yang damai dan menenangkan.

6. Masjid Damansara Perdana, Selangor

Ia terkenal dengan reka bentuk moden, minimalis dan konsep terbuka yang unik apabila hampir keseluruhan strukturnya tidak berdinding.

Masjid ini menggunakan 70 peratus bahan besi dengan gaya industri yang estetik, menggabungkan elemen tradisional dan moden untuk memberikan suasana tenang di tengah kesibukan kota.

Reka bentuk masjid ini yang terbuka membolehkan pengudaraan semula jadi yang baik dan nyaman.

I

7. Masjid Cina Melaka, Melaka

Masjid terletak di Krubong ini unik dengan seni binanya berunsurkan budaya masyarakat Tionghoa yang lengkap dengan dua menara pagoda dan atap melengkung bertingkat.

Reka bentuknya diinspirasikan daripada masjid di Beijing, Shanghai dan Xi’an di China menjadikannya lokasi yang istimewa untuk beribadat serta dikunjungi.

Masjid ini juga menonjol dengan ukiran kaligrafi Cina dan struktur yang menggabungkan elemen budaya Tionghoa dengan fungsi masjid moden.

8. Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur

Mercu tanda bersejarah ikonik di ibu negara ini terkenal dengan seni bina Moorish, Mughal dan Arab yang direka oleh A B Hubback.

Keunikan masjid tertumpu kepada reka bentuk seni binanya yang ikonik menampilkan gaya Indo-Saracenic atau Moorish dengan gerbang melengkung, kubah berbentuk bawang dan menara bata merah-putih yang tersergam.

Selain itu, ia juga terletak di tapak bersejarah pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, yang juga tempat kelahiran Kuala Lumpur.

Masjid ini juga satu daripada masjid tertua di Kuala Lumpur yang masih utuh dan berfungsi sebagai pusat ibadat utama sebelum kewujudan Masjid Negara.

Ia diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan pada 28 Disember 2018 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) untuk pemeliharaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top