Semarang: Empat individu termasuk dua kanak-kanak maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah kereta api di Jawa Tengah, semalam, beberapa hari selepas kemalangan maut membabitkan kereta api di timur ibu kota, Jakarta.
Pihak berkuasa memaklumkan pemandu kereta berkenaan tidak menyedari kehadiran kereta api kerana kabus tebal, lapor AFP.
Pegawai Trafik tempatan, Eko Ari Kisworo dalam kenyataan berkata, kereta api itu merempuh kereta yang membawa sembilan penumpang.
Kereta yang dirempuh kemudian tercampak kira-kira 20 meter sebelum melanggar tiang dan terbalik ke sawah padi.
Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan seorang lagi kanak-kanak berusia 10 tahun maut dalam kejadian itu, manakala pemandu serta penumpang lain mengalami kecederaan.
Kemalangan terbabit berlaku hanya beberapa hari selepas sebuah kereta api jarak jauh merempuh gerabak terakhir tren komuter yang sedang berhenti berhampiran stesen Bekasi Timur di Jawa Barat pada 27 April lalu.
Insiden itu mengorbankan 16 wanita dan mencederakan sekurang-kurangnya 90 individu.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto berkata, kejadian berpunca daripada laluan kereta api yang tidak selamat dan mengarahkan penambahbaikan di seluruh negara dengan pembinaan pondok pengawal atau jejantas.
Kemalangan pengangkutan bukan luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan yang luas di mana bas, kereta api malah pesawat kurang diselenggara dengan baik.
Dalam satu kejadian besar, nahas kereta api pada Januari 2024 mengorbankan empat kru di wilayah Jawa Barat.
Pada 2015, seramai 16 orang terbunuh apabila sebuah tren komuter merempuh sebuah van mini di Jakarta.
© New Straits Times Press (M) Bhd




