
Empat pemain baharu yang dibawa masuk musim ini termasuk Viktor Gyokeres (dua, kiri) belum benar-benar meninggalkan impak bersama Arsenal. Foto Agensi
ARSENAL perlu memastikan tiada ruang untuk melakukan kesilapan apabila berdepan Fulham awal pagi ini (12.30 pagi waktu Malaysia) bagi mengekalkan tekanan ke atas Manchester City dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kemenangan bakal menyaksikan The Gunners membuka jurang enam mata di puncak liga, sekurang-kurangnya buat sementara waktu, sebelum City turun menentang Everton dalam aksi yang dijangka tidak kurang sengit pada awal pagi Selasa nanti.
Perlumbaan kejuaraan ketika ini berada pada tahap rapat, namun Arsenal masih berdepan isu ketumpulan di jentera serangan apabila gagal meledak lebih daripada satu gol dalam mana-mana perlawanan sejak pertengahan Mac.
Sebaliknya, City dilihat semakin konsisten di depan gol dan terus mengekalkan momentum positif dalam beberapa perlawanan terakhir, sekali gus menambah cabaran buat skuad bimbingan Mikel Arteta.
Bekas pertahanan England, Gary Neville berpendapat Arsenal perlu berjuang hingga ke penghujung musim jika mahu menamatkan penantian kejuaraan EPL sejak 2004.
“Perlumbaan ini tidak akan menjadi mudah hingga ke garisan penamat. Mereka perlu melalui cabaran besar dan tidak boleh mengharapkan peningkatan mendadak dalam masa singkat,” katanya menerusi The Gary Neville Podcast.
Data penganalisis Opta masih meletakkan Arsenal sebagai pilihan utama untuk muncul juara, namun kedudukan itu boleh berubah sekiranya mereka tersilap langkah menentang Fulham.
Fulham yang kini di tangga ke-10 masih memburu slot ke saingan Eropah dan dijangka memberi cabaran sengit, lebih-lebih lagi Arsenal berdepan jadual padat termasuk aksi Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid yang berkesudahan 1-1 pada Rabu lalu.



