Pengacara dan penyampai radio ERA, Radin Amir Affendy Ahmad Aruani menyifatkan perkahwinan yang dibina bersama isterinya, Nur Amirah Shamsulbahrin sebagai satu fasa baharu yang penuh tanggungjawab, termasuk peranannya sebagai ‘bapa segera’ kepada tiga orang anak.
Radin, 36, berkata dia tidak melihat perkara tersebut sebagai satu beban, sebaliknya menerima ia sebagai amanah yang perlu digalas dengan hati terbuka.
Menurutnya, keputusan untuk mendirikan rumah tangga bersama Amira hadir selepas dia yakin dengan kejujuran dan keikhlasan wanita berkenaan sepanjang perkenalan mereka.
“Perwatakan dia tidak sama dengan wajah. Kalau tengok wajah dia nampak sopan, ayu dan santun, itu satu hal. Tapi bila melihat kejujuran dan keikhlasan dia bersama saya, itu yang buat saya yakin. Saya terus terang cakap dengan dia, fasa ini bukan untuk main-main.
“Mira adalah seorang ibu tunggal dengan tiga orang anak. Tapi perkara itu langsung tidak menjadi halangan buat saya,”katanya.

Dalam pada itu, Radin yang merupakan penyampai slot 3 Pagi ERA menegaskan dia bersedia memikul tanggungjawab baharu sebagai ketua keluarga kepada isteri dan anak-anak tirinya, dengan sokongan penuh daripada Amira.
Katanya, hubungan yang dibina berlandaskan kepercayaan itu menjadi kekuatan untuk mereka melangkah ke fasa seterusnya sebagai sebuah keluarga.
“Saya ada Mira, dia akan bantu saya dan sentiasa bersama saya. Ini bukan satu beban, tetapi satu tanggungjawab yang baharu,” ujarnya.

Terdahulu, Radin selamat diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan sederhana namun meriah yang berlangsung di Ukay Perdana.
Artikel lain: Tak harap bantuan kerajaan, Hanif & Radin turut sedekah duit gaji
Radin atau nama sebenarnya Radin Amir Affendy Ahmad Aruani dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Shamsulbahrin dalam suasana penuh bermakna.

Majlis berkenaan turut disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Bukit Antarabangsa, Ustaz Abdul Hakim Abdul Rahman, serta dihadiri ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.
Sumber: Gempak




