UM, UPSI hijaukan Hutan Simpan Kenderong dengan 300 pokok hutan

Petaling Jaya: Universiti Malaya (UM) menerusi Universiti Malaya Green Community (UMGC) di bawah naungan Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) terus memperkukuh komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti menerusi penglibatan dalam program reforestasi merentasi negeri. Pada 19 April 2026, seramai 13 sukarelawan UMGC telah turun padang menyertai Program BELANTARA: “Bersama Lestari Alam” yang bertempat di Kompartmen 41, Hutan Simpan Kenderong, Hulu Perak.

Program ini merupakan anjuran Exco Kesukarelawanan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama strategik Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), dan Persatuan Kejuruteraan Perisian UPSI. Kehadiran UMGC sebagai rakan kolaborasi menyerlahkan lagi semangat setiakawan antara mahasiswa Malaysia dalam mendepani isu perubahan iklim global.

Meskipun perlu bertolak seawal jam 3.00 pagi dari Kuala Lumpur, semangat “Wira Alam” daripada Universiti Malaya tetap utuh bersama lebih 60 peserta mahasiswa IPTA yang lain. Hasil kolektif daripada program ini telah menyaksikan sebanyak 300 anak pokok hutan berjaya ditanam, merangkumi 100 pokok kebangsaan iaitu Pokok Merbau, 100 pokok Meranti Temak Nipis dan 100 pokok Merawan.

Majlis telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Haji Che Anuar bin Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), UPSI. Dalam majlis tersebut, pihak pengurusan KHAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan kolaborasi iaitu Jabatan Perhutanan Perak dan UMGC atas penyertaan aktif yang bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukarelawan, malah memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti ke arah kelestarian alam sekitar.

Bagi UMGC, program ini merupakan wadah pendidikan praktikal yang mendedahkan mahasiswa kepada teknik asas penanaman dan pengurusan hutan simpan secara lestari. Penglibatan ini membuktikan bahawa mahasiswa adalah agen perubahan yang komited dalam memastikan keseimbangan ekosistem dan pemuliharaan habitat hidupan liar terus terpelihara.

UMGC komited untuk terus membawa aspirasi kelestarian ini, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13 dan 15). SDG 13: Tindakan Iklim (Climate Action), yang memfokuskan kepada usaha memerangi perubahan iklim dan kesannya melalui aktiviti penyerapan karbon oleh hutan, serta SDG 15: Kehidupan di Darat (Life on Land), yang menekankan pemuliharaan, pemulihan, dan penggunaan mampan ekosistem darat serta menghentikan kehilangan biodiversiti.

Kejayaan Program BELANTARA ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau yang melibatkan kolaborasi antara institusi pengajian tinggi, agensi Kerajaan dan NGO pada masa hadapan demi kesejahteraan generasi akan datang.

Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM) merupakan penganjur program ini dan boleh dihubungi di sukarelawan@um.edu.my untuk maklumat lanjut.

Scroll to Top