227 perenang berentap pada Kejohanan Renang Revos

227 perenang berentap pada Kejohanan Renang Revos

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Seramai 227 perenang bersaing dalam 32 acara pada Kejohanan Renang Revos 2026 di Kompleks Akuatik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, semalam.

Kejohanan dua hari itu anjuran Majlis Sukan Pahang (MSP) disertai sepuluh pasukan diadakan bertujuan mencungkil bakat baru dikalangan atlet muda untuk diketengahkan ke peringkat negeri dan kebangsaan.

Pasukan Persatuan Renang Amatur Daerah Temerloh (PRADT) muncul juara keseluruhan dengan merangkul 14 pingat emas, 19 perak dan 10 gangsa diikuti naib johan, Torpedoes Swimming Club mengumpul enam emas dan satu perak.

Tangga ketiga Regent International School meraih dua emas, tiga perak dan empat gangsa.

Penyelaras Sukan Akuatik Renang MSP, Mat Lapi Mohamad berkata, kejohanan kali ini lebih meriah dengan penyertaan perenang berbakat yang mewakili sepuluh kelab renang di Pahang termasuk 60 sekolah projek pembangunan sukan renang di daerah ini.

Menurutnya, peningkatan prestasi perenang muda lelaki dan perempuan dapat dilihat pada pertandingan kali ini, mereka tampil dengan semangat dan kesungguhan yang tinggi hingga mampu meraih kejayaan walaupun ada dikalangan mereka terlalu cetek pengalaman.

“Saya berpuas hati dengan jumlah penyertaan dan peningkatan prestasi perenang yang mengambil bahagian, mereka mempunyai masa depan cerah dalam sukan renang dan mampu melangkah lebih jauh sekiranya mendapat pendedahan, latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman.

“Pihak MSP akan terus memberi sokongan dan bantuan dalam memastikan lebih ramai perenang berbakat dapat dilahirkan seterusnya mampu membawa cabaran Pahang ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa suatu hari nanti,” katanya, di sini.

Beliau menambah, sokongan Jabatan Pendidikan Pahang (JPN) merancakkan lagi program pembangunan sukan renang peringkat bawah umur di negeri ini, sebagai contoh hari ini terdapat lebih 60 sekolah di daerah ini mempunyai atlet renang walaupun tanpa kemudahan kolam renang.

Perenang, Adam Shahrul Rizal, yang meraih dua perak dan satu gangsa pada kejohanan berkenaan, berkata, peluang menyertai kejohanan itu dapat menguji kemampuannya bersaing dengan perenang lain yang lebih berpengalaman.

“Pencapaian pada kejohanan kali ini membuka peluang saya terpilih mewakili daerah ini pada kejohanan renang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Pahang (MSSP) minggu depan.

“Saya akan berusaha memberi yang terbaik dalam memastikan berpeluang membawa pulang pingat tanpa mengira warna dapat dicapai,” katanya yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang, Tengku Muhammad, Indera Mahkota, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top