Pengalaman mahal buat skuad wanita, Jonassen tetap puas hati

Pengalaman mahal buat skuad wanita, Jonassen tetap puas hati

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kekalahan di suku akhir bukan penamat segala-galanya sebaliknya menjadi ‘kelas terbaik’ buat skuad wanita negara untuk terus matang di pentas antarabangsa.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Kenneth Jonassen melihat kempen Piala Uber 2026 sebagai platform penting buat pemain muda menimba pengalaman berharga.

Menurutnya, gabungan semangat berpasukan serta kepimpinan kapten berpengalaman banyak membantu proses pembelajaran sepanjang kejohanan.

“Keseluruhan kempen ini sangat bermanfaat. Dengan semangat berpasukan dan kapten yang berpengalaman, pemain muda kita banyak belajar,” katanya.

Malaysia menamatkan cabaran selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan, China pada aksi suku akhir di Forum Horsens, Khamis lalu. Namun di sebalik keputusan itu, Jonassen menegaskan pemain negara kini lebih memahami standard sebenar permainan di peringkat tertinggi dunia.

“Mereka belajar mengenai tahap permainan kelas dunia dan bagaimana untuk lebih matang dalam membuat keputusan di gelanggang.

“Saya sangat puas hati dengan pemain perseorangan. Mereka merasai sendiri tekanan apabila perlu menang, seperti dalam perlawanan menentang Turkiye. Pengalaman ini penting untuk membina ketahanan mental mereka,” katanya.

Menurutnya, pengalaman dalam situasi sebenar itu sukar diganti dan menjadi elemen penting dalam membentuk pemain yang lebih bersedia pada masa depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top