Kesetiaan ahli, pengalaman luas urus krisis negara tunjang kekuatan UMNO – Tok Mat

Kesetiaan ahli, pengalaman luas urus krisis negara tunjang kekuatan UMNO – Tok Mat

UMNO masih memiliki asas kekuatan yang kukuh untuk berdepan cabaran politik semasa, berteraskan pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang terus kekal bersama parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kedua-dua kekuatan itu menjadi tunjang utama kepada usaha pemulihan dan pengukuhan semula parti selepas melalui tempoh mencabar sejak 2018.

Beliau berkata, ulang tahun ke-80 UMNO seharusnya dijadikan detik penting untuk parti merangka masa depan yang lebih relevan, bukannya sekadar mengimbau sejarah silam.

“Ia adalah detik untuk kita merenung dan, lebih penting, merencana masa depan kerana bernostalgia semata-mata tidak mampu membina masa depan rakyat,” katanya, petik Harian Metro ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO, hari ini.

Kredit Foto: BERNAMA

Mohamad berkata, kepimpinan parti percaya UMNO masih mempunyai asas yang kukuh untuk kembali bangkit berdasarkan kekuatan sedia ada.

“Kepimpinan parti yakin UMNO masih mempunyai dua kekuatan, iaitu pengalaman luas dalam mengurus krisis serta kesetiaan ahli yang terus bersama parti,” katanya lagi.

Menurutnya, fokus semasa parti adalah memperkukuh organisasi serta memastikan UMNO kekal relevan dalam landskap politik yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas gagasan ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha mengukuhkan kembali sokongan orang Melayu terhadap parti.

“Rumah bangsa ini untuk semua orang Melayu. Kemasukan kini dipermudah secara dalam talian, tidak seperti dahulu, dan ahli boleh mendaftar serta memperoleh kad keahlian dengan lebih mudah,”ujar beliau.

Artikel lain: Isu ‘tebuk atap’: Pemuda DAP gesa pecat Tok Mat, Akmal cabar ‘buang’ semua menteri UMNO

Bagaimanapun, Mohamad mengingatkan bahawa sokongan orang Melayu terhadap UMNO kini tidak lagi seperti dahulu dan parti perlu berdepan realiti tersebut secara jujur.

“Realitinya, orang Melayu hari ini tidak lagi semesra dahulu dengan UMNO, malah ada yang beranggapan parti ini tidak lagi diperlukan,” katanya.

Kredit Foto: Shiddieqiin Zon | Kosmo!

Sehubungan itu, beliau menegaskan UMNO perlu terus melakukan perubahan dari segi pendekatan politik dan strategi pilihan raya bagi memastikan kelangsungan parti.

“Kita tidak boleh terus bernostalgia, sebaliknya perlu menjawab persoalan apakah gagasan UMNO untuk masa depan,” tambahnya.

Sumber: Kosmo! Online (Muhammad Najieb Ahmad Fuad)

Scroll to Top