Dua malim gunung 'hilang' di Trans GBB berpengalaman lebih 20 tahun

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Dua malim gunung yang mengiringi pendakian empat sekeluarga ke Trans GBB, di sini sebelum dikhuatiri hilang dikatakan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun.

Malah, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, juga sudah dianggap senior dalam kalangan kumpulan malim gunung yang lain.

Salah seorang malim gunung dari Gua Musang yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) berkata, dia tidak menolak kemungkinan terdapat ahli kumpulan yang cedera menyebabkan mereka lewat tiba ke lokasi.

“Saya mengenali dua pendaki ini sebagai senior dan sangat berpengalaman, mungkin ada yang cedera atau mungkin juga sesat.

“Saya difahamkan kumpulan ini masuk melalui Kampung Dakoh, Pos Balar menuju ke Gunung Gerah, Gunung Bilah di Gua Musang, seterusnya ke Gunung Bieh, Gunung Ulu Sepat dan Gunung Belatoh.

“Menurut maklumat yang diterima pendakian mereka bermula pada 29 Ogos dan sepatutnya berakhir Khamis lalu iaitu pendakian lima gunung dalam tempoh enam hari,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, seperti yang sudah dirancang dia bersama lima malim gunung lain dan anggota bomba akan ke Kampung Dakoh untuk memulakan operasi sekiranya diperlukan.

Terdahulu media melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan akan menggerakkan Special Tactical Operation and Rescue Malaysia (STORM) jika diperlukan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu termasuk empat beranak yang dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan di Gua Musang pada 29 Ogos lalu.

Pengarahnya, Farhan Sufyan Borhan dilaporkan berkata, operasi SAR berkenaan diketuai JBPM Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top