am@hmetro.com.my
Klang: Seorang pemandu e-hailing cemas selepas seorang penumpang wanita bertindak keluar dari kenderaan yang sedang bergerak dalam kejadian berhampiran Taman Eng Ann, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, wanita tempatan berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu e-hailing yang berusia 47 tahun berhubung kejadian itu jam 9 pagi tadi.
Katanya, pengadu adalah seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing sepenuh masa.
“Kejadian berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak Shell, Taman Eng Ann yang mana semasa pengadu dalam perjalanan menghantar dua penumpang.
“Secara tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita telah bertindak membuka pintu bahagian kanan belakang lalu terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak.
“Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati penumpang tersebut mengalami kecederaan ringan akibat insiden berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati penumpang tersebut mendakwa bertindak sedemikian kerana berasa cemas dan bimbang akan keselamatannya setelah mendakwa pengadu memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang jelas.
Katanya, susulan kejadian itu, pengadu membatalkan pesanan e-hailing tersebut dan dengan bantuan seorang penunggang motosikal di lokasi, penumpang berkenaan telah dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.
“Pengadu membuat laporan polis sebagai perlindungan diri terhadap sebarang kemungkinan di masa hadapan.
“Kes kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain) dan usaha mengesan penumpang terlibat sedang dijalankan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Terdahulu menerusi rakaman papan pemuka sebuah kenderaan lain, wanita berkenaan bertindak membuka pintu penumpang dan keluar dari kenderaan berkenaan.
Pemandu e-hailing kemudian berhenti sebelum rakan wanita berkenaan turut keluar dari kenderaan berkenaan untuk membantunya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




