31 aktivis cedera dalam pintasan Israel terhadap flotila bantuan ke Gaza

31 aktivis cedera dalam pintasan Israel terhadap flotila bantuan ke Gaza
31 aktivis cedera dalam pintasan Israel terhadap flotila bantuan ke Gaza

Seramai 31 aktivis cedera ketika tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang menuju ke Genting Gaza di perairan antarabangsa. – Agensi

ANKARA – Sekurang-kurangnya 31 aktivis cedera ketika tentera Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang menuju ke Genting Gaza di perairan antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi pada Sabtu.

Jawatankuasa GSF memaklumkan, mangsa yang cedera melibatkan aktivis dari pelbagai negara termasuk masing-masing empat dari New Zealand dan Australia, tiga dari Itali dan Amerika Syarikat serta dua dari Kanada, Belanda, Sepanyol, United Kingdom, Colombia dan Jerman.

Menurut kenyataan itu, seorang daripada mangsa mempunyai kewarganegaraan berganda Turkiye-Jerman, manakala identiti tiga lagi penumpang masih dalam proses dikenal pasti.

Dalam kenyataan berasingan, kumpulan itu mendakwa aktivis yang ditahan sepanjang operasi tersebut mengalami layanan buruk di atas kapal tentera laut Israel selama hampir 40 jam.

Mereka didakwa dinafikan bekalan makanan dan air mencukupi selain dipaksa tidur di lantai basah.

Kenyataan itu turut mendakwa peserta yang cuba menghalang penahanan Saif Abukeshek, warga Sepanyol berketurunan Palestin dan rakyat Brazil, Thiago Avila, telah dikenakan tindakan kekerasan oleh tentera Israel.

Seorang aktivis mendakwa mengalami kecederaan serius termasuk kemungkinan patah hidung dan tulang rusuk selain sakit pada bahagian leher akibat dipukul, ditendang dan diseret di atas tanah.

Flotila bantuan kemanusiaan GSF itu dilaporkan diserang berhampiran pulau Crete, Greece, kira-kira 600 batu nautika dari destinasi mereka.

Kapal pertama flotila tersebut yang membawa bantuan kemanusiaan berlepas dari Barcelona pada 12 April, manakala armada utama memulakan pelayaran dari pulau Sicily, Itali pada 26 April bagi memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Genting Gaza sejak 2007, menyebabkan kira-kira 2.4 juta penduduk berdepan krisis kemanusiaan serius termasuk ancaman kebuluran.

Pada Oktober 2023, Israel melancarkan operasi ketenteraan berskala besar di Gaza yang mengorbankan lebih 72,000 orang serta mencederakan lebih 172,000 yang lain, selain memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut. – Bernama

Scroll to Top