am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: “Negara kita ada perlembagaan. Institusi diraja tidak patut dihina sama sekali,” ujar Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abd Razak.
Terdahulu, Sulaiman bersama sayap Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjong Karang, di sini, berhubung penularan hantaran jelik membabitkan suntingan gambar yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan laporan polis itu dibuat mereka susulan kebimbangan tinggi terhadap tindakan melampau itu.
“Perkara ini hangat diperkatakan orang ramai lebih-lebih lagi sebelumnya kecoh isu penternakan babi.
“Kami mahu pihak berkuasa lebih tegas dan melakukan siasatan dengan tulus,” katanya ketika ditemui, tadi.
Terdahulu media melaporkan, siasatan kes hantaran jelik dengan suntingan gambar yang menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata laporan polis sudah diterima berkaitan dengan insiden itu dan kertas siasatan sudah dijalankan.
“Siasatan kini sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman selainJabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




