khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman digesa untuk mengadakan Sidang Khas DUN supaya undi tidak percaya dapat dilakukan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya sudah menghantar surat supaya Sidang Khas DUN itu dibuat secepat mungkin untuk memastikan krisis di negeri itu tidak berpanjangan.
“Kita sudah hantar surat dan kita minta supaya sidang khas ini dapat diadakan secepat mungkin.
“Kemelut ini tidak boleh berpanjangan kerana kemelut ini akan menggugat urus tadbir kerajaan,” katanya ketika ditemui sempena Sempena Ulang Tahun ke-80 Penubuhan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Sebelum ini, UMNO Negeri Sembilan menarik balik sokongannya terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan di negeri itu.
Jalaluddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh semua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Aminuddin.
Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, sekiranya ada pertukaran Menteri Besar Negeri Sembilan, UMNO mempunyai ramai calon yang layak menjawat jawatan itu.
“Ramai yang layak jadi Menteri Besar. Kita ada 14 kerusi, 14 ADUN dalam kalangan UMNO-BN, 13 ADUN daripada kalangan lelaki beragama Islam (yang layak),” katanya.
Menyentuh mengenai akuan bersumpah (SD) yang dikemukakan oleh ADUN PN menyokong ADUN UMNO-BN berkait penarikan sokongan terhadap Aminuddin, Jalaluddin berkata, perkara itu juga tidak timbul dan bukan menjadi persoalan utama.
“Apa yang dikemukakan oleh PN itu menyatakan kesanggupan atau menawarkan sokongan untuk bersama UMNO dan BN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




