'Askar hitam' bantu atasi lambakan sisa makanan

'Askar hitam' bantu atasi lambakan sisa makanan

nurul_husna@mediaprima.com.my

KAJIAN mendapati, larva lalat askar hitam atau ‘Black Soldier Fly Larvea’ (BSFL) bermanfaat sebagai sumber makanan ternakan seperti ayam dan ikan, selain membantu membantu menyelesaikan isu timbunan sampah sisa makanan komuniti atau domestik.

“Ini kerana, BSFL yang diternak turut menjadikan sampah sisa makanan sebagai diet,” kata Liyana Farhanah Noor Izan.

“Ramai yang masih skeptikal terhadap usaha memelihara BSFL. Tanggapan itu berpunca daripada sumber larva berkenaan sendiri yang menjadikan sampah sebagai sumber diet,” katanya yang juga pengasas Kebun Rahsia.

Menurutnya, dia mula bergiat dalam memelihara BSFL dan berkongsi ilmu penternakan larva itu sejak 2023.

“BSFL memiliki ‘antimictobial peptides’ (AMP) dan mengandungi sekitar 20 hingga 40 peratus protein, bergantung kepada sisa makanan dimakannya.

“Ini sangat membantu pertumbuhan ayam yang sihat atau pembesaran ikan ternakan dengan lebih cepat,” katanya.

Lebih penting, BSFL juga membantu menyelesaikan isu timbunan sampah sisa makanan komuniti atau domestik.

“Dalam komuniti pemelihara BSFL, isu sampah, terutama sampah sisa makanan yang berbau, dapat ditangani dengan baik.

“Saya menyasarkan isi rumah, pekebun dan penternak sebagai pemelihara BSFL,” katanya.

Liyana Farhanah juga memiliki lebih 500 rakan komuniti yang aktif memelihara BSFL.

Katanya, BSFL memiliki kitaran hidup selama 45 hari sebelum induknya mati.

Tambah Liyana Farhanah, dia memiliki dua pusat operasi pemeliharaan BSFL iaitu di Taiping dan Perak Tengah, Perak.

“Cabaran saya ketika ini ialah sumber makanan mencukupi untuk BSFL peliharaan.

“Setakat ini pengeluaran tertinggi BSFL oleh Kebun Rahsia ialah sekitar 200 kilogram. Kami berdepan kekangan sumber makanan iaitu sisa sampah,” katanya.

Menurutnya, walaupun pihaknya bekerjasama dengan Majlis Daerah Perak Tengah, terdapat cabaran untuk memperoleh sisa makanan mencukupi.

“Untuk mendapatkan 200 kilogram BSFL, pusat ini memerlukan satu hingga dua tan sisa makanan.

“Kami sedang mencari mekanisme terbaik untuk mengumpul sisa makanan supaya proses memelihara BSFL dan pengeluaran larva boleh dipertingkatkan demi membantu industri serta komuniti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top