Ayah akhirnya 'pergi' jua

Ayah akhirnya 'pergi' jua

am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Pemandu Proton Persona yang kritikal dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), malam tadi.

Kamilin Alias, 56, disahkan meninggal dunia pada jam 10.35 malam oleh anaknya, Mohd Aiman, 20 ketika dihubungi Harian Metro.

Kelmarin, kereta dinaiki Kamilin bersama isterinya Rubeta Mohd, 51, dan anak bongsu mereka, Nur Isyirah Syakirah, 14, terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Bezza ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Sri Saujana di sini, selepas menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Mersing.

Dalam kemalangan itu, Rubeta dan Nur Isyirah Syakirah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Kamilin yang parah dibawa ke HSI Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum, disahkan meninggal dunia.

Semalam, anak kedua pasangan itu, Mohd Izat, 22, dilaporkan berkata, bapanya yang pada mulanya masih sedarkan diri ditidurkan akibat nafas laju dan turut menjalani pembedahan di perut, selain dilaporkan paru-parunya berdarah.

Jenazah Kamilin dibawa menaiki van jenazah dari HSI menuju ke Masjid Taman Sri Saujana di sini, pagi ini untuk disembahyangkan dan solat jenazah diimamkan Mohd Izat.

Allahyarham kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini, dan disemadikan bersebelahan pusara isterinya, Rubeta dan anak bongsu, Nur Isyirah Syakirah yang dikebumikan dalam satu liang, semalam.

Lebih 100 ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan hadir ke tanah perkuburan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top