Penyebaran visual mengaibkan Sultan Selangor lukakan perasaan masyarakat Islam

Penyebaran visual mengaibkan Sultan Selangor lukakan perasaan masyarakat Islam

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) percaya tindakan menyunting dan menyebarkan imej yang menjengkelkan serta mengaibkan Sultan Selangor dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Salehuddin Saidin berkata, ia berikutan hantaran yang dibuat menerusi Facebook itu jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di Selangor kerana mengaitkan baginda dengan objek dan visual yang jelas haram mengikut perspektif hukum syarak.

“Merujuk kepada satu hantaran di Facebook yang memaparkan suntingan imej Sultan Selangor dalam keadaan tidak sopan, MAIS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook, Lucas Liam.

“MAIS juga turut menyelar tindakan menyunting dan menyebar imej yang menjengkelkan dan mengaibkan Sultan Selangor sebelum ini yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook Huayan The Pure Learning Centre.

“MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan itu dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, visual yang dihantar juga jelas melampaui norma dan nilai masyarakat yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, rentetan daripada beberapa insiden itu, MAIS menegaskan bahawa sebarang bentuk penghinaan terhadap Sultan Selangor dan institusi beraja tidak boleh dipandang ringan.

“Justeru, MAIS menggesa agar jenayah ini disiasat dengan segera oleh pihak berwajib iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) agar pelakunya dapat diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal.

“MAIS juga menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu adalah tonggak perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Salehuddin berkata, dalam konteks Perlembagaan Persekutuan, kebijaksanaan institusi beraja yang memperkenan pelaksanaan dasar-dasar penting termasuk pemberian kewarganegaraan yang lebih terbuka kepada kaum minoriti haruslah sentiasa dikenang sebagai suatu simbol perpaduan antara kaum.

Justeru katanya, semua pihak tidak kira bangsa dan agama wajib menghormati dan memelihara institusi beraja ini daripada sebarang unsur yang boleh mencemar dan menjatuhkan kedaulatannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top