Mahu bina identiti sendiri, pesanan kakak jadi pegangan – Dida Qirana

Mahu bina identiti sendiri, pesanan kakak jadi pegangan – Dida Qirana

Sebagai pendatang baharu dalam industri seni tanah air, Dida Qirana memilih untuk meletakkan adab serta pembawakan diri sebagai keutamaan, berbanding populariti semata-mata.

Bagi adik kepada tiga aktres jelita iaitu Uqasha Senrose, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose, Dida atau Farza Dida Qirana menyedari setiap tindak-tanduknya pasti menjadi perhatian dan secara tidak langsung memberi kesan kepada nama keluarga.

“Saya sudah lama terfikir, sekiranya pembawakan diri saya baik atau buruk dalam industri, orang tetap akan kaitkan dengan mereka. Bukanlah meminta, malah saya minta jauhlah perkara buruk itu berlaku agar nama mereka tidak terpalit sama,” katanya kepada Pancaindera.

Tambah pelakon berusia 22 tahun itu, dia menjadikan pesanan kakak-kakaknya sebagai panduan utama untuk terus berpijak di bumi nyata dalam mengharungi cabaran dunia glamor.

“Mereka selalu pesan agar menjaga tingkah laku dan pembawakan diri dalam industri sekiranya mahu kesihatan mental lebih terjaga.

“Keperibadian yang baik serta adab itu sangat penting walaupun kurang dikenali. Kalau terkenal tetapi perangai tidak elok pun tiada guna juga,” jelasnya.

Dalam masa sama, Dida mengakui dirinya belum sepenuhnya bersedia berdepan dunia penuh kritikan, tetapi tetap memperkukuhkan mental sebagai persediaan awal.

“Walaupun tidak bersedia, tetapi saya sudah persiapkan mental lebih awal bahawa saya perlu terbuka menerima sebarang komen yang baik atau yang berbaur kecaman,” tambahnya.

Mahu bina identiti sendiri, pesanan kakak jadi pegangan – Dida Qirana

Mengimbas permulaan perjalanan, Dida berkongsi minat asalnya lebih cenderung ke arah nyanyian sebelum rezeki dalam bidang lakonan hadir terlebih dahulu.

Pun begitu, anak keenam daripada tujuh beradik itu tidak menafikan wujud persepsi segelintir pihak yang mengaitkan penglibatannya dalam industri kerana tiga orang kakaknya.

“Saya sedar apabila terjun ke dalam industri ini, saya akan berdepan dengan banyak cabaran selepas dikenali umum. Namun, saya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan walaupun ada yang menganggap penglibatan saya dalam industri ini menggunakan ‘kabel’ besar’,” katanya.

Memilih untuk menggunakan nama sendiri untuk penjenamaan diri, Dida mengambil langkah berani itu agar tidak sering dikaitkan dengan adik-beradiknya yang sudah kukuh kedudukannya dalam dunia lakonan.

Tambah Dida, dia juga mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang versatil selari dengan prinsipnya untuk kekal relevan tanpa menjadikan nama kakak-kakaknya sebagai tiket untuk meraih populariti.

“Saya mempunyai kepercayaan keras terhadap kebolehan yang pelbagai atau versatil. Gaya lakonan dan perubahan setiap karakter itu sangat penting untuk tidak buatkan kita kelihatan tidak menyerlah dan mendatar.

“Dalam masa sama, saya juga akan serius dalam bidang nyanyian untuk mengembangkan lagi bakat saya untuk kekal relevan,” katanya lagi.

Ditanya mengenai maklum balas kakak-kakak tersayang mengenai gaya lakonannya menerusi drama Dorm 403, pelakon itu terharu apabila meraih komen positif daripada mereka

“Alhamdulillah, kakak-kakak beri maklum balas positif walaupun saya takut jangkaan mereka tinggi. Mereka adalah figura hebat dalam industri, jadi saya bangga apabila mereka boleh terima dengan pembawakan watak saya,” ujarnya.

Mengulas tentang dirinya selepas melihat hasil lakonan sendiri, Dida mengakui masih banyak ruang untuk diperbaiki.

“Alhamdulillah, saya bangga melihat hasilnya. Saya buat apa yang saya mampu berikan kepada penonton pada ketika itu. Tetapi bagi saya setiap hari saya perlu belajar benda baru.

“Dalam erti kata yang lebih mudah, saya tidak mahu berada di zon selesa saja. Saya menanti cabaran dan peluang baru untuk bawa watak lebih mencabar,” jelasnya.

Scroll to Top