Pasukan khas pantau KLIA, tangani penipuan badal haji

Pasukan khas pantau KLIA, tangani penipuan badal haji

am@hmetro.com.my

Bachok: Lembaga Tabung Haji (TH) menubuhkan pasukan khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menangani penipuan badal haji bagi musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, ia juga bagi memastikan tiada mangsa yang terkandas akibat ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, beberapa notis peringatan turut dikeluarkan bagi menyedarkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran upah haji, termasuk yang menawarkan harga murah.

“Setakat ini kami belum merekodkan sebarang kes tipu badal haji, namun pemantauan tetap dilaksanakan termasuk tawaran di laman sosial dan lapangan terbang (KLIA).

“Orang ramai juga perlu merujuk kepada pihak berautoriti seperti TH untuk mendapatkan keabsahan (kepastian) berkenaan tawaran pengurusan ibadah itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Pusat Pemulihan Orang Kurang Upaya (PROKA) Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (LPA) Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Abdul Khudus Mohd Naaim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohammad dan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Datuk Dr Arham Abdullah.

Dalam masa sama, beliau berkata, persatuan pelajar Malaysia di Arab Saudi mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan masyarakat keliru dan tertipu dengan pakej badal haji yang tidak wujud.

Sementara itu, Zulkifli memuji usaha YAPEIM, UMK bersama Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK) dengan kerjasama Majlis Pemulihan Negeri Kelantan yang memberi peluang pekerjaan kepada 30 OKU wanita jenis kelainan upaya penglihatan dan fizikal untuk bekerja di Kozee Kopi dan Pastri.

Projek selama dua tahun itu dijalankan dengan penyelidikan UMK di bawah Prof Madya Dr Derweanna Bah Simpong bersama 13 ahli penyelidik membabitkan enam modul iaitu pembuatan roti berasaskan yis; pembuatan roti ala kafe; asas pembuatan kek kontinental; asas penyediaan makanan sejuk beku dan pes; brista dan penjenamaan dan pemasaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top