syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Apa-apa yang berlebihan akan memudaratkan,”.
Itu tegas pelakon, Mimi Lana, 31, mengenai keputusannya untuk ‘berehat’ seketika daripada aplikasi media sosial, Threads.
Mimi, atau nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata dia memilih untuk memadam aplikasi berkenaan bagi mengelakkan dirinya terus terperangkap dalam dunia maya sehingga mengabaikan realiti kehidupan.
“Saya tidak tahu, saya tidak ingat dan saya tidak mengira sudah berapa lama saya berhenti (menggunakan Threads). Saya hanya padam aplikasi itu dan melupakannya. Mungkin sudah lebih kurang sebulan.
“Apa-apa yang berlebihan akan memudaratkan. Saya ada masalah itu, di mana saya suka membaca. Jadi, saya akan terus membaca dan telefon tidak lepas dari tangan. Saya rasa benda itu tidak bagus apabila kita hanya terus-menerus membaca,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Mimi menyamakan situasi itu seperti satu ketagihan yang perlu dikawal sebelum ia memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan rutin harian.
“Ia seperti ketagihan. Tetapi apa yang bagus adalah bila kita sedar bahawa perkara ini sudah tidak baik untuk diri sendiri.
“Sama juga seperti Threads. Ada orang yang bangun, makan dan tidur dengan aplikasi itu. Dia rasa kalau tidak memberi komen, hidupnya tidak sempurna. Itu sudah menjadi masalah,” katanya.
Bagi pelakon drama Perempuan Itu, dia berasa rugi sekiranya masa yang ada tidak digunakan untuk menikmati kehidupan sebenar di luar dunia media sosial.
“Di luar daripada dunia media sosial ini, ada banyak lagi perkara yang kita kena nikmati. Saya rasa rugi kalau tidak gunakan masa saya untuk menikmati kehidupan realiti.
“Apabila kita terlalu melekat dengan telefon, kita akan rasa seperti berada di dalam ‘gelembung’ itu sahaja. Saya tidak menyalahkan Threads. Cuma cara penggunaan itu yang penting.
“Threads ini disertai oleh semua lapisan masyarakat dan semua algoritma ada di situ. Setiap orang mempunyai peluang untuk tular,” katanya.
Ditanya mengenai pesanan kepada individu yang terlalu obses mencari pengesahan (validation) di media sosial, Mimi berpendapat segala-galanya berbalik kepada kesedaran diri masing-masing.
“Susah kalau kita mahu beri nasihat kerana mereka pun sudah dewasa. Nasihat sudah banyak diberi oleh ramai orang. Akhir sekali, ia berbalik kepada diri sendiri.
“Seperti yang saya katakan, ia bergantung kepada cara penggunaan. Kalau cara penggunaan itu betul, maka tiada masalah.
“Tetapi jika salah, ia akan menjadi lebih buruk. Jadi, ia terpulang kepada masing-masing,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




