DALAM usaha menarik peminat baharu bagi Hello Kitty, syarikat di sebalik watak ikonik itu pada Selasa lalu melancarkan divisyen permainan video dengan sasaran menghasilkan 10 judul asli dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Hello Kitty, yang bermula sebagai ilustrasi pada dompet syiling vinil pada era 1970-an, menjadi simbol budaya ‘kawaii’ atau bermaksud comel di Jepun yang memberi pulangan menguntungkan.
Watak Hello Kitty serta karakter lain milik gergasi korporat Sanrio sebelum ini pernah muncul dalam permainan video, tetapi semuanya dihasilkan oleh pihak ketiga.
“Dengan membangunkan permainan sendiri, Sanrio berharap dapat meluaskan daya tarikannya.

“Kami juga mahu mendekati golongan yang bukan sebahagian daripada peminat tradisional kami, seperti kanak-kanak lelaki dan lelaki dewasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomokuni Tsuji dalam sidang media pada Selasa.
Syarikat itu memaklumkan permainan baharu pertamanya bertajuk Sanrio Party Land akan dilancarkan untuk konsol Nintendo Switch dan Switch 2 menjelang musim luruh.
Sanrio akan melabur sehingga 10 bilion yen (RM249 juta) dalam operasi permainan videonya dalam tempoh tiga tahun hingga Mac 2027.
“Permainan video adalah pasaran yang sangat besar. Orang ramai menghabiskan banyak masa bermain permainan, justeru, ini adalah sektor yang wajib kami ceburi,” kata Tsuji.
Permainan Sanrio Party Land akan menampilkan lebih 45 permainan mini, melibatkan lebih 145 watak Sanrio, diketuai oleh Hello Kitty serta watak lain seperti Cinnamoroll dan Kuromi.
Tarikh pelancaran dan harga permainan itu akan diumumkan kemudian, menurut Sanrio.
Berbeza dengan eksport budaya Jepun lain seperti Pokémon atau Dragon Ball, Hello Kitty mempunyai naratif yang sangat minimum, malah watak itu tidak mempunyai mulut.
Watak tersebut sudah digunakan pada puluhan ribu produk daripada beg tangan hingga periuk nasi.
Malah, watak ikonik kucing comel itu turut menjalin kerjasama komersial dengan jenama besar seperti Adidas dan Balenciaga.
Fenomena ini masih menunjukkan pertumbuhan berterusan, dengan sebuah filem oleh Warner Bros. dijadualkan untuk tayangan pada 2028.- UTUSAN



