am@hmetro.com.my
Pontian: Sekurang-kurangnya 28 rumah rosak akibat ribut yang melanda Kampung Melayu Raya Rizab 1, Jalan Tahfiz, Pekan Nanas di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4 petang.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Nanas diketuai Komander Operasi Md Bakhtiar Chik ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di dapati ribut menyebabkan kemusnahan puluhan kediaman penduduk.
“Bagaimanapun, semua penghuni rumah dilaporkan selamat dan tiada mangsa mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Setakat 6 petang, operasi masih diteruskan dengan pemantauan menyeluruh bagi memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.
Pihak bomba turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terutama ketika keadaan cuaca tidak menentu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Terdahulu, video kejadian ribut berdurasi 55 saat yang berlaku ketika hujan lebat tular di media sosial. Turut dipaparkan pusaran angin hingga menyebabkan objek dipercayai kepingan zink berterbangan di udara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




