sukan@hmetro.com.my
Sepang: Pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak bercadang kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun terbuka menyertai sesi perlawanan latihan secara berkala di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Zii Jia yang pulang dari kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark berkata, perancangan itu masih di peringkat perbincangan kerana ia membabitkan beberapa perkara termasuk peraturan badan induk itu.
“Memang ada perancangan untuk sesi perlawanan latihan, tetapi ia perlu dibincangkan lebih lanjut kerana BAM bukan tempat yang saya boleh masuk sesuka hati,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurutnya, beliau berharap BAM dapat membuka ruang untuknya kembali menjalani latihan secara berkala, tanpa perlu terikat secara sepenuh masa.
Zii Jia mengakui sesi latihan bersama pemain kebangsaan sebelum ini memberi impak positif terhadap prestasinya di Piala Thomas.
Beraksi sebagai perseorangan ketiga, dia muncul antara pemain paling menyerlah apabila mencatat kemenangan dalam semua tiga aksi peringkat kumpulan termasuk menewaskan pemain Jepun, Koki Watanabe.
Bagaimanapun, peluangnya untuk beraksi dalam suku akhir menentang China tidak kesampaian apabila Malaysia tewas 0-3.
Menurut Zii Jia, kelebihan berlatih di ABM adalah pemainnya mempunyai kualiti yang tinggi, sekali gus memberi cabaran kompetitif dalam sesi perlawanan latihan.
Dalam masa sama, Zii Jia mengakui isu penajaan mungkin menjadi kekangan memandangkan dia terikat dengan penaja berbeza berbanding BAM.
“Saya serahkan kepada BAM untuk uruskan soal penajaan. Bagi saya untuk masuk latihan bukan masalah, tetapi mungkin ada sedikit konflik dari segi penajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




