mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis hari ini menahan lelaki berusia lingkungan 30-an untuk siasatan berhubung hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial.
Tangkapan dibuat pada 7.10 malam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan susulan satu hantaran dimuat naik akaun Facebook Lucas Liam pada 2 Mei lalu yang didakwa menghina Sultan Selangor.
Katanya, penahanan itu juga hasil kerjasama rapat polis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha mengenal pasti individu terbabit.
“Polis turut merampas dua telefon bimbit jenama Samsung bersama kad SIM yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 12 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu sama.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang penyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab.
“PDRM komited mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang demi memastikan keamanan dan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




