Ayda bertuah suami rajin jaga anak

Ayda bertuah suami rajin jaga anak

am@hmetro.com.my

PENYANYI dan pelakon terkenal, Ayda Jebat mengakui kebahagiaan rumah tangganya bersama suami, Nabil Mahir kini dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata ketiga, Anggun Mikayla yang dilahirkan pada Januari lalu.

Menurut Ayda atau nama sebenar, Nur Suhada Jebat, 33, dia juga baru selesai menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan zuriat ketiganya itu.

Sebagai ibu muda kepada tiga cahaya mata, Ayda turut berdepan cabaran tersendiri untuk membesarkan anak yang masih kecil.

“Bukan sahaja tak cukup tidur, saya juga tidak ada masa nak bersiap seperti dulu. Tapi saya hanya menikmati momen itu sebab bila tengok anak, sekejap sahaja mereka sudah besar.

“Dengan anak pertama, masa itu saya tak bekerja dan berasa lama melalui fasa itu. Tapi bila anak kedua, saya sudah mula kerja sikit-sikit dan sekarang memang bekerja sepenuhnya, jadi rasa macam sekejap sangat masa itu berlalu.

“Tiba-tiba kita tengok, kenapa anak sudah besar dan tinggi? Baju pun cepat sahaja tidak muat. Jadi saya rasa, kita kena hargai setiap momen itu. Sebab itu, bila tidak bekerja atau tidak terbabit dengan aktiviti seni, saya memang pilih untuk duduk di rumah dan meluangkan masa berkualiti bersama anak,” katanya.

Dalam kesibukan membesarkan tiga anak yang masih kecil, Ayda menafikan dirinya ‘supermom’ seperti tanggapan ramai orang.

Katanya, suami yang banyak membantu menguruskan anak di rumah terutama ketika mereka masih kecil.

“Apatah lagi, masa anak kami baru dilahirkan, kebanyakan memang suami yang jaga di rumah.

“Tugas saya cuma bangun untuk menyusukan anak dan selepas itu sambung tidur semula. Urusan lain semua suami yang lakukan seperti tukar lampin,” katanya.

Ditanya sama ada itu perjanjian yang dibuat sebelum berkahwin, kata Ayda, ia datang daripada rasa tanggungjawab suaminya sendiri.

“Ini bukan perjanjian tapi saya berasa sangat bersyukur dan bertuah kerana suami faham tanggungjawabnya untuk sama-sama menjaga anak di rumah.

“Suami beritahu dia nak saya dapat cukup rehat. Jadi kami memang ikut giliran menjaga anak. “Kadang-kadang, saya nampak suami mengantuk tapi dia beritahu tetap terhibur tengok anak,” katanya.

Kata Ayda lagi, dia juga nampak perubahan sekarang apabila ramai suami rakannya juga membantu menjaga anak mereka termasuk apabila berada di luar.

“Tidak kisahlah sama ada ibu atau ayah yang jaga, kedua-duanya pun sama hebat. Yang penting, bukan satu pihak saja yang memikul tanggungjawab itu.

“Sejujurnya, kalau tak ada suami menemani, saya tak pernah bawa anak keluar rumah sendirian sebab tak percaya pada kemampuan sendiri,” katanya.

Meskipun baru melahirkan anak ketiga, Ayda akui tidak menolak untuk menambah zuriat dan membesarkan keluarga sedia ada.

Kata Ayda, soal jumlah anak adalah subjektif dan bergantung kepada perancangan serta kemampuan setiap pasangan.

“Saya hanya menyerahkan segalanya kepada Allah SWT. Kalau ada rezeki, saya tidak menolak kerana saya dan suami memang ada perancangan untuk menambah anak.

“Kami juga sudah bertanya doktor untuk menambah anak dan dia beritahu saya masih muda dan tiada masalah atau komplikasi untuk dapat anak lagi,” katanya.

Namun, kata Ayda, buat masa ini, dia dan suami tidak terlalu memikirkan perancangan untuk menambah cahaya mata ketika ini.

Ayda mendirikan rumah tangga dengan Nabil pada 1 Januari 2021. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ana Nayla, Aali Mateen dan Anggun Mikayla.

Dalam perkembangan lain, Ayda tetap memastikan dirinya muncul dengan produk dan lagu baharu untuk peminat walaupun sibuk menguruskan keluarganya.

Lagu baharunya berjudul Kentoot yang bukan bermaksud membuang angin, tetapi mengisahkan hubungan toksik dalam percintaan dilancarkan pada penghujung Disember lalu.

Apa yang menarik, video muzik (MV) Kentoot yang berwarna-warni diarahkan suaminya, Nabil serta mendapat maklum balas positif daripada peminat.

Tidak ketinggalan, Ayda juga muncul dengan lagu raya terbaharu berjudul Yaa Hari Raya yang juga lagu duet bersama sahabat baiknya, penyanyi Hazama sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri pada tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top