Birmingham: Roberto De Zerbi percaya Tottenham Hotspur sudah mengatasi ‘masalah mentaliti’ mereka selepas keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan penting 2-1 ke atas Aston Villa, awal pagi tadi.
Anak buah De Zerbi mendahului dua gol pada separuh masa pertama menerusi rembatan jarak jauh Conor Gallagher dan tandukan Richarlison.
Emiliano Buendia merapatkan jurang buat Villa pada saat akhir, namun sudah terlambat untuk menghalang Tottenham meraih kemenangan kedua berturut-turut.
Tottenham kini di tangga ke-17, satu mata di atas West Ham United di tempat ke-18, dengan kedua-dua pasukan berbaki tiga perlawanan dalam misi kekal dalam liga.
Ketika De Zerbi mengambil alih tugas pada Mac lalu menggantikan pengurus sementara yang dipecat, Igor Tudor, Tottenham ketika itu melalui 15 perlawanan liga tanpa kemenangan sejak Disember.
Selepas tewas kepada Sunderland dan seri dengan Brighton & Hove Albion, De Zerbi kini menghidupkan semula harapan Tottenham dengan kemenangan penting di tempat lawan ke atas Wolverhampton Wanderers dan Villa, sekali gus mengelak penyingkiran kali pertama ke divisyen kedua sejak musim 1977-78.
Jurulatih dari Itali itu berkata kunci kebangkitan adalah membina semula keyakinan pemain selepas musim yang penuh bergolak.
“Saya fikir ia masalah mental dan dua kemenangan ini memberi kami lebih keyakinan serta mentaliti lebih baik.
“Villa pasukan yang sangat bagus dengan ramai pemain berkualiti serta pengurus hebat, tetapi kami bermain dengan baik selama 60 minit, tanpa bola dan juga ketika menguasai bola.
“Saya gembira dengan prestasi pemain. Saya tahu betapa mereka menderita musim ini.
“Tekanan tinggi adalah soal mentaliti dan ketika menguasai bola kami bermain baik. Tugas saya adalah membantu mereka dan tunjukkan kemampuan sebenar mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



