Madrid: pemain nombor satu dunia Jannik Sinner menundukkan Alexander Zverev 6-1, 6-2, tengah malam tadi untuk menjuarai Terbuka Madrid buat kali pertama.
Pemain Itali itu merangkul gelaran Masters 1000 kali kelima berturut-turut, sekali gus memanjangkan rekod kemenangan kepada 23 perlawanan dengan aksi cemerlang di ibu kota Sepanyol itu.
Hanya legenda seperti Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic pernah memenangi empat gelaran berturut-turut pada tahap sama.
“Saya tidak akan dan tidak boleh bandingkan diri dengan Rafa, Novak dan Roger. Apa yang mereka capai selama 10 atau 15 tahun adalah luar biasa.
“Saya cuba cipta nama sendiri, tapi saya lakukan ini untuk diri sendiri. Saya tidak bermain untuk rekod, saya hanya meletakkan diri dalam posisi untuk berjaya,” kata Sinner kepada Movistar.
Sinner berkata dia bermain pada tahap sangat tinggi, berbeza dengan lawannya yang gagal menampilkan aksi terbaik.
“Hari ini saya bermain tenis yang sangat stabil. Sascha tidak bermain dengan baik.
“Tetapi jika saya tidak mendahului lebih awal, dia boleh bangkit kerana kakinya mula bergerak dan keyakinan meningkat, lebih-lebih lagi di gelanggang ini.
“Dia juga banyak bermain perlawanan lewat sepanjang kejohanan ini, jadi jadualnya agak tidak menentu, tetapi saya gembira dengan prestasi saya” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



