Gaborone: Elaine Thompson-Herah mempamerkan larian selaku pelari terakhir yang menakjubkan untuk menghadiahkan kemenangan kepada Jamaica dalam acara 4×100 meter (m) wanita di World Relays, awal pagi tadi, manakala Letsile Tebogo membantu tuan rumah, Botswana mencatat masa kedua terpantas dalam sejarah bagi acara 4x400m.
Elaine, 33, menerima baton daripada pelari ketiga, Lavanya Williams dalam kedudukan ketiga sebelum memasuki laluan lurus terakhir dengan ketinggalan beberapa meter di belakang pelari Kanada, Donna Ntambue.
Namun, pelari kedua terpantas sepanjang zaman bagi acara 100m itu yang juga pemenang lima pingat emas Olimpik, meningkatkan kelajuan dan berjaya memintas pencabarnya.
Kuartet Jamaica yang turut dibarisi Briana Williams dan Jodean Williams muncul juara dengan catatan 42.00 saat (s), diikuti Kanada (42.17s) dan Sepanyol (42.31s) di tempat ketiga.
Sementara itu, dua hari aksi penuh dramatik di ibu negara Botswana ditutup dengan penamat impian apabila pasukan lelaki tuan rumah memenangi acara 4x400m.
Lee Bhekempilo Eppie memberikan permulaan cemerlang buat Botswana di hadapan penyokong sendiri sebelum juara Olimpik 200m, Tebogo, mengambil alih.
Namun, pemenang emas Olimpik pertama negara itu mengalami masalah pada penghujung lariannya, membuka ruang kepada pelari Afrika Selatan, Lythe Pillay, untuk mendahului.
Ia meletakkan pemenang gangsa dunia 400m, Bayapo Ndori, dalam situasi sukar selaku pelari ketiga. Dia berjaya mengejar pelari Afrika Selatan, Leendert Koekemoer, namun gagal melepaskan diri.
Persaingan sengit antara Botswana, Afrika Selatan dan Australia berterusan hingga pertukaran baton terakhir.
Namun, juara dunia 400m Botswana, Collen Kebinatshipi, memecut meninggalkan Zakithi Nene kira-kira 40m sebelum garisan penamat untuk menang dengan masa luar biasa 2 minit 54.47s, hanya 0.18s lebih perlahan daripada rekod dunia yang dicatat kuartet Amerika Syarikat (AS) diketuai Michael Johnson pada 1993.
© New Straits Times Press (M) Bhd
