PETALING JAYA: Penyanyi Syada Amzah berkongsi pengalaman ketika sesi uji bakat program realiti Big Stage yang menurutnya sangat mencabar kerana peserta perlu segera menarik perhatian juri dalam masa yang singkat.
Menurut Syada Amzah atau Nursyuhada binti Amir Amzah, 28, dalam situasi uji bakat, peserta tidak mempunyai ruang untuk mempersembahkan lagu secara penuh, sebaliknya hanya beberapa minit awal sahaja yang benar-benar memberi impak.
“Sebenarnya, peserta tidak mempunyai banyak masa untuk tunjukkan bakat sepenuhnya. Jadi, beberapa minit pertama memang sangat penting,” katanya dalam satu hantaran Threads miliknya, hari ini.
Tambah Syada yang juga merupakan peserta Big Stage musim kedua itu, dia mengambil pendekatan berani dengan menggabungkan beberapa genre seperti pop, reggae dan balada dalam satu persembahan bagi menunjukkan versatiliti vokalnya.
“Saya pun dah tak ingat berapa lagu saya gabungkan, mungkin tiga atau empat lagu sekali gus. Antara lagu yang digunakan termasuk Man Down nyanyian Rihanna,” katanya.
Menurutnya, fokus utama ketika itu ialah memastikan juri terus tertarik dari awal persembahan, bukan menunggu hingga lagu selesai.
“Kalau boleh, kita terus masuk ke bahagian korus tanpa perlu melalui rangkap. Cara ini lebih berkesan untuk menarik perhatian dengan pantas,” katanya.
Jelasnya, pendekatan itu dibuat kerana masa uji bakat yang sangat terhad dan setiap saat sangat penting untuk menonjolkan diri.
Kongsi Syada, pengalaman itu membuka matanya bahawa dalam dunia uji bakat, impak segera lebih penting berbanding persembahan yang lengkap.
“Lagi bagus kalau begitu kerana kena tarik perhatian mereka dari awal dan kekalkan sampai habis,” ujarnya.




