Didakwa buat tohmahan terhadap MAIS, presiden NGO mengaku tidak bersalah

Didakwa buat tohmahan terhadap MAIS, presiden NGO mengaku tidak bersalah

rnoraina@hmetro.com.my

Putrajaya: Seorang aktivis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat tohmahan terhadap Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengaitkan institusi itu dengan bayaran tunggakan pembinaan masjid, tiga minggu lalu.

Mohd Ridzuan Abdullah, 58, yang juga presiden sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa membuat tohmahan dengan mempunyai sebab untuk mempercayai pertuturan itu akan merosakkan reputasi MAIS.

Perkataan berkenaan mengaitkan kontraktor, majlis berkenaan dan masjid dengan tunggakan hutang selain dakwaan mempergunakan nama Istana.

Kesalahan didakwa dilakukan di Bangunan Perdana, Jabatan Perdana Menteri di sini, kira-kira jam 1 tengah hari pada 13 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Sazali Omar yang mengendalikan kes menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam T Ravindran yang mewakili tertuduh merayu ikat jamin yang minimum kerana tiada pendapatan tetap dengan hanya menjual produk kesihatan dan pernah dijangkiti virus, Jun tahun lalu.

“Pendapatannya umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ selain perlu menyara keluarga bersama isteri yang juga seorang suri rumah.

“Dia adalah bekas calon Parlimen Kuala Langat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 2022 lalu, sekali gus menunjukkan dia akan memenuhi semua syarat yang ditetapkan mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Ezrene membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Jun depan.

Pada 16 April lalu, MAIS memberitahu mahu mengambil tindakan termasuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tidak benar berhubung isu tunggakan bayaran projek pembinaan Masjid Al-Madaniah, Subang, Selangor.

Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dilapor berkata demikian selepas tular video di aplikasi TikTok yang mendakwa berlaku tunggakan bayaran serta salah urus dalam majlis itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top