lokman.khairi@hmetro.com.my
Parit Buntar: Kerajaan negeri hari ini melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam situasi mencabar susulan krisis tenaga global.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan adalah pendekatan ‘payung subsidi’ oleh kerajaan negeri bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan keperluan asas pada harga lebih rendah.
Menurutnya, program itu merangkumi penjualan barangan kering dan basah dengan subsidi ditanggung kerajaan negeri sebagai langkah segera menangani peningkatan kos sara hidup.
“Program ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan Fasa 1 Langkah Mitigasi Impak Krisis Asia Barat Negeri Perak bagi tempoh April hingga Jun 2026.
“Ia juga program jualan murah sepanjang tahun dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk pasar raya, pemborong, peruncit serta koperasi,” katanya ketika pelancaran di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini, hari ini.
Katanya, sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi menjayakan Pasar Sejahtera Rakyat Perak sepanjang tahun ini menerusi beberapa program utama.
“Antaranya Pasar Rakyat Perak dengan peruntukan RM2 juta yang akan dilaksanakan di semua daerah dengan kekerapan dua kali sebulan.
“Selain itu, Jualan Sejahtera Rakyat berjumlah RM1.2 juta yang akan dilaksanakan di kesemua 59 kawasan Dewan Negeri setiap bulan,” katanya.
Tambahnya, turut dilaksanakan ialah Jualan Sejahtera Rahmah dengan peruntukan RM400,000 serta Jualan Koperasi Perak Sejahtera bernilai RM100,000 yang menyasarkan manfaat kepada kira-kira 1,000 keluarga.
Saarani berkata, kerajaan negeri akan terus menambah baik pelaksanaan program berkenaan dari segi peruntukan dan kekerapan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat secara menyeluruh.
Sementara itu, suri rumah, Kamaru Nisa Samsudin, 46, berkata, dia antara yang tidak melepaskan peluang menghadiri jualan murah seumpama itu setiap kali dianjurkan kerana jelas membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan keluarganya.
Menurutnya, dengan pendapatan suami sekitar RM2,800 sebulan dan menanggung empat anak, dua daripadanya di universiti, langkah berjimat cermat amat penting.
“Alhamdulillah, saya berasa lega ada jualan murah sebegini sebab harga lebih murah dan sangat membantu.
“Kalau beli di pasar raya, perbelanjaan barang dapur boleh mencecah RM800 sebulan.
“Tapi dengan program seperti ini, saya boleh kurangkan kepada sekitar RM500 sahaja. Anggaran penjimatan dalam 30 hingga 40 peratus, memang sangat terasa bezanya,” katanya.
Seorang lagi suri rumah, Roslenda Mat Isa, 47, berkata, dia bersama keluarga juga bergantung kepada jualan murah bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.
Menurutnya, dengan suami bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM2,000 sebulan dan mempunyai enam anak, setiap penjimatan amat bermakna.
“Sekarang jarang beli barang dapur di luar sebab harga di sini jauh lebih murah.
“Kalau RM400 dibelanjakan di pasar raya, barang yang dapat tak sebanyak di sini. Tapi kalau beli melalui program ini, jumlah yang sama boleh dapat lebih banyak
“Terima kasih Menteri Besar dan kerajaan negeri, inisiatif ini sangat membantu khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



