Mustahil Woods akan tampil di Terbuka AS

Mustahil Woods akan tampil di Terbuka AS

New York: Tiger Woods dijangka tidak akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS) bulan depan, menurut Ketua Pegawai Eksekutif USGA, Mike Whan.

“Saya akan berasa sangat terkejut (jika woods beraksi).

“Ia akan menjadi sesuatu yang hebat untuk kejohanan itu, dan jika dia bersedia, ia juga hebat untuk dirinya,” kata Whan apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan Woods akan beraksi di Terbuka AS tahun ini.

Pemain berusia 50 tahun itu kini dilaporkan menjalani rawatan pemulihan – dipercayai program rawatan pesakit selama 90 hari di Switzerland – selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada 27 Mac lalu berhampiran kediamannya di Jupiter Island, Florida.

Dia sebelum itu ditahan kerana disyaki memandu di bawah pengaruh ubat dan enggan menjalani ujian air kencing selepas kenderaannya merempuh sebuah lori sebelum terbalik.

Woods tidak mengalami kecederaan dan mengaku tidak bersalah.

Pihak berkuasa mendakwa Woods berada di bawah pengaruh ubat dan bukannya alkohol ketika kejadian berlaku.

Menurut laporan, dua pil hydrocone ditemui dalam poketnya ketika ditahan.

“Jelas apa yang dia lalui sekarang jauh lebih besar daripada golf,” kata Whan kepada Sports Illustrated.

“Dia sudah membuktikan sebelum ini apabila dia benar-benar fokus terhadap sesuatu, dia mampu melakukannya dengan hebat.

“Saya yakin dia masih mempunyai banyak peluang untuk beraksi dalam kejohanan USGA pada masa depan, tetapi saya tidak fikir dia akan bermain dalam mana-mana kejohanan USGA tahun 2026.

“Jika dia akhirnya kembali bermain, itu sesuatu yang bagus. Tetapi apabila saya memikirkan Tiger sebagai seorang sahabat, itu bukan perkara paling penting buat saya ketika ini,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top